KUCHING: Pelantikan semula Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebagai Menteri Kesihatan dilihat suatu yang positif bagi memperkasakan kementerian yang berdepan pelbagai cabaran ketika ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni juga tidak menafikan bebanan yang dipikul penyandang sebelum ini, Dr. Zaliha Mustafa beralih sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) turut membawa perkhidmatan kesihatan yang lebih efisien, serta berjasa kepada rakyat.
“Saya mengharapkan beliau (Datuk Seri Dr Dzulkefly) akan meneruskan agenda kertas putih kesihatan, memfokuskan digitalisasi perkhidmatan Kementerian Kesihatan dan menambah baik akta-akta sedia ada yang bersesuaian mengikut situasi semasa.
“Malah, selama setahun Dr. Zaliha dengan tekun berdepan dengan beban permintaan perkhidmatan kesihatan yang lebih efisien, turut berjasa memperkenalkan Skim Perubatan Madani, membawa kertas putih ke Parlimen dan membawa RUU berkaitan kawalan merokok,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Justeru , Lukanisman turut memberi jaminan rombakan kali ini dilihat meletak kemahiran dan pengalaman setiap menteri dan timbalan menteri yang diperlukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk fokus dalam melaksanakan dasar kerajaan.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengatur semula susunan barisan kabinet bagi mendepani cabaran tahun kedua untuk perkukuhkan sistem penyampaian kerajaan di setiap kementerian.
“Saya melihat pelantikan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berperanan menjaga hal ehwal Sabah Sarawak sebagai langkah baik bagi melancarkan proses tuntutan Sabah Sarawak yang berasaskan Perjanjian Malaysia (MA63) ini kerana beliau (Fadillah) mempunyai pengalaman luas,” tambahnya lagi.
Oleh demikian, beliau berharap pertukaran portfolio dan membawa masuk tokoh teknokrat ke dalam kabinet disusuli dengan komitmen semua menjayakan pentadbiran kerajaan Madani.
“Penilaian prestasi secara berkala dari rakyat dan Perdana Menteri terhadap kabinet Malaysia perlu diambil berat bagi mengharmonikan pandangan masyarakat kepada kempimpinan kerajaan perpaduan,” tegasnya.
Sebagai rekod, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dilantik semula sebagai Menteri Kesihatan yang baharu manakala penyandang sebelum ini, Dr. Zaliha Mustafa beralih sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan). -UTUSAN