ALOR SETAR: Dua wanita maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan termasuk sebuah lori di Jalan Kolon, Pokok Sena dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 9.55 pagi itu, kemalangan dipercayai melibatkan lori terbabit yang terbabas lalu merempuh tiga kenderaan lain termasuk Perodua Bezza dinaiki mangsa yang maut.
Mangsa, Romadiah Ismail, 65, dan Nadzifah Abu Seman, 28, dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian.
Seorang lagi wanita, Nur Fathi Rahman, 26, yang menaiki kereta jenis Perodua Axia pula dilaporkan cedera parah sementara dua lelaki yang mengalami kecederaan ringan belum diketahui identiti mereka.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminudin Abd. Rahim memberitahu, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 9.59 pagi.
“Sebaik tiba di lokasi, kita mendapati terdapat empat kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu dengan tiga mangsa tersepit di dalam Perodua Bezza dan Perodua Axia.
“Dua mangsa yang telah meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini untuk bedah siasat. –UTUSAN