Dua pondok bayaran parkir jadi mangsa khianat - Utusan Malaysia

Dua pondok bayaran parkir jadi mangsa khianat

KEADAAN sebuah pondok bayaran parkir yang hangus dibakar dalam kejadian di Dataran Rimba, Kuala Nerus, malam tadi. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Dua buah pondok bayaran parkir milik syarikat swasta yang terletak di Dataran Rimba di sini menjadi mangsa khianat dalam masa 24 jam dengan salah satunya dibakar, malam tadi.

Dalam kejadian itu, pondok yang dibakar terletak kira-kira hanya 90 meter dari pondok yang dirosakkan dipercayai akibat perbuatan khianat oleh individu tidak bertanggungjawab.

Menurut wakil syarikat swasta berkenaan, Norshafina Ab. Fatah, 34, kejadian itu merupakan insiden kali ketiga selepas pondok bayaran parkir yang pertama turut dibakar pada 7 Oktober lalu.

Beliau berkata, piihaknya hanya sempat beroperasi dua hari iaitu pada Sabtu dan Ahad bermula pukul 9 pagi sehingga 7 petang dengan perbuatan khianat itu dipercayai dilakukan selepas itu.

Menurutnya, tindakan individu tidak bertanggungjawab itu mengakibatkan syarikat terlibat mengalami kerugian hampir RM20,000.

“Saya tahu ramai tidak berpuas hati kawasan parkir di sini mula dikenakan caj tetapi kami tidak boleh berundur kerana sudah tanda tangan kontrak dua tahun dengan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

“Kami kesal dengan perbuatan ini malah mendapati terdapat pihak yang menularkan isu ini di media sosial tanpa mahu merujuk kepada kami bagi mendapatkan penjelasan sebenar.

“Ketika kejadian pertama pondok ini dibakar, kami rugi RM7,000 namun hari ini dua lagi pondok bayaran parkir musnah dengan nilai anggaran hampir RM13,000 lagi,” katanya ditemui di sini, hari ini..

Tinjauan di lokasi itu mendapati tingkap kaca bahagian depan dan sisi pondok terbabit pecah selain turut ditampal 24 helai kertas mengandungi luahan serta keluhan daripada peniaga di situ.

Salah seorang peniaga, Mohd. Shafie Md. Razali, 26, mendakwa, ramai tidak bersetuju pelaksanaan parkir berbayar yang dianggap membebankan peniaga dan pelanggan yang berkunjung ke situ.

Katanya, kadar caj RM1 sejam disifatkan terlalu tinggi terutama kepada pekerja yang bekerja lebih sembilan jam sehari manakala kehadiran pelanggan juga kian berkurang ekoran isu berkenaan.

“Sebelum ini pengunjung atau peniaga tidak dikenakan sebarang caj namun sejak ianya dikuatkuasakan, saya menghabiskan RM10 sehari atau mencecah RM300 sebulan hanya untuk parkir sahaja,” ujarnya.

Bagi pemilik kedai ‘bundle’, Muhd. Shahamiza Ali, peniaga di kawasan itu berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) mengkaji semula pelaksanaan parkir berbayar di lokasi itu.

“Kami bukan menghalang PBT mengutip bayaran parkir tetapi kalau boleh ikut kadar yang berpatutan apatah lagi kawasan ini tidak berbumbung, terbuka dan tiada kawalan keselamatan,” katanya.

Pada 8 Oktober lalu, akhbar ini melaporkan sebuah pondok bayaran parkir kenderaan di Dataran Rimba, Kuala Nerus, terbakar disyaki akibat perbuatan khianat dan tidak berpuas hati isu bayaran tiket parkir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya