ALOR SETAR: Sebanyak 1,313 kes serta dua kluster Covid-19 dicatatkan di Kedah sepanjang Minggu Epidemiologi (ME) 51 bermula 17 Disember hingga 23 Disember lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, dua kluster tersebut dicatatkan di sebuah kilang di Kuala Muda dan sebuah pusat jagaan warga emas di Kota Setar.
“Selain itu terdapat satu kematian dicatatkan dalam ME51 berbanding tiga yang direkodkan dalam minggu sebelumnya. Secara keseluruhan terdapat sembilan kematian akibat Covid-19 dicatatkan sejak 1 Disember hingga berakhir ME51,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambah beliau, jumlah kes pula menunjukkan peningkatan sebanyak 266 kes atau 25.4 peratus berbanding ME sebelumnya, namun kebanyakkan kes hanya bergejala ringan dan menjalankan pengasingan di rumah.
“Sebanyak 142 kes dimasukkan ke wad biasa, manakala 10 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan majoriti kes dilaporkan adalah melalui saringan bergejala iaitu sebanyak 88 peratus,” katanya.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, Kulim mencatatkan kes Covid-19 tertinggi bagi tempoh ME51 iaitu sebanyak 498 kes, diikuti Kuala Muda (352), Kota Setar (150) dan Kubang Pasu (105).
“Selain itu, Baling mencatatkan 65 kes, Pendang (50), Sik (17), Bandar Baharu (13) dan Padang Terap (7) sementara Langkawi serta Yan masing-masing mencatatkan 28 kes,” katanya. –UTUSAN