KEMAMAN: Dua bayi terbunuh berusia tujuh bulan dan 18 bulan dalam dua kemalangan berasingan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), di sini semalam.
Dalam kemalangan pertama, seorang bayi perempuan berusia 18 bulan maut selepas kenderaan yang dinaiki bersama keluarganya terlibat dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer 323.4, LPT2, berhampiran Plaza Tol Kerteh, dekat sini, kira-kira pukul 8 malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, mangsa, Nur Afiah Sumayyah Mohammad Sulaiman disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Dungun pada pukul 9.40 malam.
Hanyan berkata, difahamkan ketika kejadian, bayi tersebut bersama bapa dan neneknya serta tiga adik beradiknya yang menaiki Perodua Kancil sedang dalam perjalanan dari Felda Neram menghala ke Setiu.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila bapa mangsa tiba-tiba mengubah haluan ke lorong kanan jalan berikutan lorong kiri ditutup kerana jalan berlubang.
“Pada masa sama datang sebuah Perodua Alza yang dipandu seorang anggota tentera dari arah belakang di lorong sama, terlanggar bahagian belakang kenderaan keluarga itu menyebabkan Kancil tersebut terbabas ke kiri jalan dan melanggar besi penghadang jalan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dalam kemalangan kedua, seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan maut selepas pacuan empat roda yang dinaikinya terlanggar lopak air dalam kemalangan di Kilometer 372, LPT2, berhampiran Bukit Besi, kira-kira pukul 6.40 petang, kelmarin.
Mangsa, Mohammad Adam Rayyan Abdul Rahim meninggal dunia kira-kira pukul 12.25 semalam selepas dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, ketika kejadian, mangsa menaiki kenderaan Mitsubishi Pajero Sport yang dipandu Mohammad Taufik Babge, 34, bersama isteri, Hamizah Mustapha, 35, serta dua lagi penumpang lain sedang dalam perjalanan dari Kota Bharu menghala ke Pengerang, Johor.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan yang dipandu Mohamad Taufik tiba-tiba hilang kawalan selepas terlanggar lopak air yang menyebabkan kenderaan itu terbabas dan melanggar besi penghadang lebuh raya.
“Impak pelanggaran itu menyebabkan kenderaan tersebut kemudiannya terhumban ke tebing lebuh raya yang dipenuhi air,” katanya.
Maizura berkata, Mohammad Taufik dan isterinya mengalami kecederaan di bahagian kaki dan dada manakala dua lagi penumpang yang berusia 20 dan 11 tahun turut cedera di bahagian dada.
“Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk menerima rawatan, sebelum Mohammad Adam Rayyan kemudiannya dikejarkan ke HSNZ dan disahkan meninggal ketika diberi rawatan hari ini (semalam),” katanya. – UTUSAN










