PETALING JAYA: Kembali menghiburkan peminat di Malaysia, kumpulan popular Indonesia menjanjikan persembahan berbeza dan dinamik menerusii Konsert Cinta Sampai Di Kuala Lumpur.
Dianjurkan iFix Entertainment dengan kerjasama Panggung Asia, kumpulan pop rock negara seberang yang popular dengan Cinta Ini Membunuhku itu akan menghangatkan Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 4 Februari 2024.
Dalam satu kenyataan, penganjur konsert berkata, persembahan berskala mega itu akan diwarnakan dengan pengalaman audiovisual yang menggabungkan bunyi dan emosi sekali gus berbeza dengan aksi sebelum ini.
“Kami berharap peminat D’Masiv di Malaysia tidak melepaskan peluang menyaksikan persembahan menarik band ini secara langsung di Kuala Lumpur.
“Malah, dijangkakan konsert ini juga bakal menghimpunkan penggemar dari negara jiran termasuk Singapura,” katanya.
Untuk info, kali terakhir kumpulan asal Jakarta itu beraksi di negara ini adalah pada Jun lalu bersempena sambutan ulang tahun ke-20 mereka dalam industri seni suara.
Konsert tersebut mencipta sejarah trsendiri apabilat tiket yang dijual sold out dalam tempoh 48 jam sebaik penjualan secara maya dibuka.
D’Masiv yang ditubuhkan pada 2003 itu dianggotai Rian Ekky Pradipta selaku penyanyi, Dwiki Aditya Marsall (gitar), Nurul Damar Ramadan (gitar), Rayyi Kurniawan, Iskandar Dinata (bass) dan Wahyu Piadji (dram).
Sepanjang dua dekad dalam arena muzik, mereka telah menghasilkan tujuh album iaitu Perubahan pada 2008, Perjalanan (2009), Persiapan (2012), Hidup Lebih Indah (2014), D’masiv (2016), Love (2019) dan terakhir, Time (2022).