‘Dia hanya lihat saya terbakar dalam kereta’ - Utusan Malaysia

‘Dia hanya lihat saya terbakar dalam kereta’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISRAA’ Ja’abis dilahirkan pada 22 Julai 1984 di Baitulmuqaddis, menjadi anak keempat daripada sembilan adik-beradik. 

Dia menjadi seorang daripada rakyat Palestin ditahan di penjara Israel dan sebab wanita itu ditahan, adalah tidak logik. 

Israa’ ditahan dan dipenjarakan hanya kerana sistem elektronik keretanya gagal berfungsi sehingga mencetuskan kebakaran dengan dia berada di dalam kenderaan itu ketika kejadian berlaku. 

Akibatnya, badan wanita itu melecur tiga tahap, termasuk wajahnya dan kehilangan lapan jari. 

Pada hari kejadian, iaitu 11 Oktober 2015, Israa’ memandu dari Jericho ke Baitulmuqaddis dalam sebuah kereta kecil dipenuhi barangan rumah. 

Israa’ sebenarnya dalam proses berpindah ke Baitulmuqaddis dan sering membawa banyak barangan bagi mengurangkan kos menyewa lori pindah. 

Dia berpindah ke Baitulmuqaddis tanpa suaminya kerana lelaki itu memiliki kad pengenalan Tebing Barat dan Israa’ boleh berpindah ke Baitulmuqaddis kerana anaknya, Mu’tasim dilahirkan di sana.

Sebelum kejadian, antara barangan yang dibawa Israa’ adalah tong gas kerana mahal kalau membeli yang baharu di Baitulmuqaddis. 

Ketika bertolak dari Jericho, enjin keretanya mati dua kali dan ramai orang memberi amaran kepadanya supaya berpatah balik dan menukar kenderaan, namun enggan mematuhinya kerana Israa’ mahu sampai segera ke Baitulmuqaddis bagi memulakan kerja baharunya. 

BAU TERBAKAR 

Setiap kali enjin keretanya mati, ada bau terbakar dan selepas beberapa kilometer memandu di luar pos kawalan ketenteraan al-Za’ayem berhampiran penempatan haram Yahudi, Ma’ale Adumim, enjin kereta Israa’ sekali lagi mati. Ketika itu, wanita tersebut didatangi seorang anggota polis Israel sudah bersara yang meminta kad pengenalannya. 

“Ada bau terbakar yang kuat di dalam kereta saya,” beritahu Israa’ kepada bekas polis itu sambil cuba keluar dari kenderaan. 

Namun, bekas polis itu meminta Israa’ supaya kekal dalam kereta sementara dia memeriksa kad pengenalan wanita itu. Ketika itu, Israa’ dapat rasakan keretanya akan terbakar dan sekali lagi cuba keluar, namun ditolak bekas polis tersebut. 

Api mula muncul di bahagian depan kereta Israa’ dan semakin marak sehingga membakar tubuhnya. 

Lebih sadis, bekas polis itu hanya melihat Israa’ menjerit kesakitan di dalam kereta yang terbakar. 

Bekas polis itu turut membuat dakwaan palsu menuduh Israa’ yang cuba meletupkan keretanya menggunakan tong gas yang dibawanya sebelum itu. 

Dakwaan palsu itu diterima mahkamah Israel dan Israa’ dilabel pengganas, sekali gus menyebabkan dia meringkuk dalam penjara selama 11 tahun. 

DINAFIKAN PELBAGAI HAK 

Dengan keadaan  zikalnya yang cedera dan melecur, Israa’ masih menjalani hukuman penjara. 

Haknya dina kan oleh Zionis untuk mendapatkan rawatan perubatan sewajarnya. Lebih menyedihkan, selepas insiden menimpa Israa’ itu, suaminya turut kemalangan dan mengalami kecacatan kekal, menyebabkan anak mereka dijaga oleh neneknya di Baitulmuqaddis. 

Menurut adiknya, Mona Ja’abis, amat sukar untuk melawat Israa’ ketika dia dalam penjara sehinggakan dia terpaksa menyamar menjadi wanita Yahudi dan bertutur dalam bahasa Hebrew. 

“Pertama kali saya melihat kakak saya, keadaan dia amat daif dan sadis, dengan kesan luka dan melecur yang amat jelas, selain ditemani polis Israel di tepi katil hospital. 

“Dua bulan kemudian, kami dapat melihat Israa’, namun hanya menerusi belakang tingkap kaca, selain tidak dibenarkan bercakap dengannya. 

“Ibu ayah saya tidak dapat menahan kesedihan melihat keadaan Israa’ yang menyedihkan dan mereka kuatkan hati menyatakan anak mereka akan baik-baik sahaja,” jelas Mona. 

MU’TASIM TETAP SAYANG IBU 

Dalam pada itu, Mona bimbang jika anak buahnya enggan menerima keadaan ibunya yang sudah berubah, dengan wajah tidak dikenali. 

Namun, sangkaan Mona meleset apabila Mu’tasim tetap mengenali ibunya menerusi gambar yang dilihatnya. 

“Saya tetap sayangkan ibu, dia ibu saya selamanya,” ujar anak kecil itu. 

BEBAS AKHIRNYA 

Israa’ dibebaskan selepas Hamas dan Israel mencapai persetujuan melakukan gencatan senjata, baru-baru ini. 

“Saya pasti, tiada seorang pun daripada anda tahu apa sebenarnya yang saya rasakan, tiada kesakitan seperti saya alami. 

“Saya masih ingat bagaimana bekas polis itu hanya saksikan saya terbakar dalam kereta tanpa tolong apa-apa,” katanya.

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.