DEWAN NEGARA: Reformasi Pakatan Harapan berubah selepas

DEWAN NEGARA: Reformasi Pakatan Harapan berubah selepas berkuasa

TI LIAN KER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin MCA mengingatkan Pakatan Harapan (PH) yang menerajui Kerajaan Persekutuan secara gabungan dilihat mengubah nadanya berhubung reformasi dengan mengatakan memerlukan masa untuk melaksanakannya. 

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, kerajaan secara tiba-tiba mengatakan agenda reformasi tidak boleh dipercepat setelah memberi harapan dan janji kepada rakyat sekian lama. 

“Baru-baru ini, pemimpin-pemimpin parti kerajaan menyatakan kerajaan memerlukan tempoh masa 10 tahun untuk membuat reformasi dan fokus kerajaan sekarang ialah untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). Nampaknya, ia kembali pada politik seperti biasa. 

“Sebelum menjadi kerajaan, PH kata mereka perlu berkuasa sebelum agenda reformasi boleh dilaksanakan. Apabila sudah berkuasa, nada mereka berubah kepada masa diperlukan dan kemenangan PRU16 perlu diutamakan,” katanya semasa membahaskan usul Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 dalam sidang Dewan Negara hari ini. 

Dalam pada itu, kata Lian Ker, banyak reformasi yang sudah lama dijanjikan boleh dilaksana dengan segera jika kerajaan ikhlas, beramanah dan bertanggungjawab kepada rakyat. 

Beliau memberi contoh Perdana Menteri tidak seharusnya menerajui Kementerian Kewangan, tiada lagi lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), penghapusan akta-akta seperti Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), peruntukan sama rata untuk semua ahli Parlimen, penghapusan kuota berasaskan bangsa bagi perniagaan dan universiti, pengiktirafan sijil peperiksaan bersepadu (UEC) dan pelantikan hakim-hakim tanpa campur tangan eksekutif. 

“Banyak lagi pembaharuan boleh dilaksanakan dengan kuasa pena ahli-ahli politikus yang hutang janji berpuluh tahun, tetapi, kita tidak nampak niat dan nekad mereka apabila sudah berkuasa. 

“Kita perlu ada permulaannya secara bersungguh-sungguh kerana ini adalah hutang sejarah politik berpuluh tahun dan menjadi harapan rakyat pada PH. Sebaliknya, banyak yang dijanjikan, tetapi agenda reformasi berakhir sebelum ia bermula (pusingan U),” katanya. 

Katanya, parti-parti politik gabungan dalam kerajaan kerajaan harus berani melaksanakan janji-janji yang terkandung di dalam manifesto masing-masing. 

“Sepatutnya kita sudah tiada perbalahan dalam pelaksanaan janji-janji dalam manifesto demi kebaikan rakyat dan bukannya cuba menjadi lebih Pas dari Pas semata-mata untuk merampas penyokong mereka,” katanya. -UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN