Demokrasi, semak imbang tetap dijamin tanpa pilihan raya PBT

Demokrasi, semak imbang tetap dijamin tanpa pilihan raya PBT

REEZAL MERICAN NAINA MERICAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Amalan demokrasi dan pendekatan semak imbang tetap dijamin tanpa pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT). 

Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, cadangan pilihan raya kerajaan tempatan (PRKT) tidak salah dan mencerminkan idealisme dalam menggambarkan keadaan demokrasi yang lebih baik. 

Bagaimanapun, katanya, tanpa PRKT, perkara itu tetap dicapai kerana boleh sahaja ditetapkan kuota tertentu dalam lantikan PBT untuk memastikan pihak-pihak yang berbeza menjadi sebahagian daripada pentadbiran kerajaan tempatan ini. 

“Malah, pemilihan wakil kerajaan tempatan dalam keadaan semasa sudah pun memadai. Sebagai contoh, di Selangor, lantikan ahli majlis kerajaan tempatan adalah berdasarkan kuota 75 peratus daripada calon parti politik manakala baki 25 peratus dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan. 

“Model sebegini tetap sahaja menjamin bahawa semak imbang boleh dijalankan melalui pandangan profesional oleh pihak yang bebas dari bingkai kepentingan politik serta mencerminkan keberadaan wakil masyarakat sivil iaitu NGO. 

“Malah di peringkat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, pelantikan Ahli Lembaga Penasihat turut mengambil kira komposisi serta perwakilan semua pihak berkepentingan dalam soal perbandaran,” katanya dalam kenyataan. 

Ahad lepas, media melaporkan, Pengerusi DAP Kuala Lumpur, Tan Kok Wai semasa berucap dalam Konvensyen DAP Kuala Lumpur, mencadangkan supaya kerajaan memulakan pelaksanaan pilihan raya PBT di ibu negara.

Ahli Parlimen Cheras itu berkata, pengenalan pilihan raya berkenaan bertujuan kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan.

Reezal Merican berkata, pelaksanaan PRKT itu juga sudah tentu menelan belanja yang cukup besar selepas mengambil kira kerajaan tempatan di negara ini yang berjumlah 155. 

Menurut beliau, secara purata, setiap PRKT itu memberi implikasi kewangan sebanyak RM3 juta untuk dilaksanakan. 

“Ini bermakna, sekiranya PRKT ini ingin dilaksanakan, jumlah belanja yang dianggarkan adalah hampir setengah bilion ringgit dan ia memberi kesan kewangan yang cukup besar kepada kerajaan tempatan dalam kategori majlis perbandaran dan majlis daerah. 

“Sebagai perbandingan, peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk KPKT dalam Belanjawan 2024 adalah sebanyak RM5.6 bilion. Ini bermakna, bagi tujuan PRKT semata-mata, jika dilaksanakan, akan menggunakan hampir 10 peratus daripada peruntukan yang terhad ini. 

“Sedangkan jumlah peruntukan ini boleh digunakan untuk tujuan lain yang jauh lebih penting dan dapat memberi manfaat terus kepada rakyat,” katanya. 

Beliau berkata, realiti semasa juga menyaksikan rakyat sudah mula menzahirkan bahawa mereka sudah tepu dengan agenda berkisar politik dan aktiviti pilihan raya. 

Katanya, ia mengambil  statistik keluar mengundi bagi beberapa siri pilihan raya yang diadakan dalam dua tahun kebelakangan ini adalah tidak memberansangkan.

“(Oleh itu), adalah lebih mustahak pada hari ini, untuk memastikan bahawa fungsi PBT ini boleh dipenuhi dan dilaksanakan dengan baik. Prestasi PBT adalah hal yang paling mustahak dan memberi impak langsung kepada rakyat, bukanlah kaedah pemilihan mahupun lantikan terhadap ahli pentadbirannya. 

“Apa yang penting adalah memperkemas khidmat PBT dalam memenuhi keperluan dan kehendak rakyat terbanyak di luar sana khususnya dalam meningkatkan daya huni serta merancakkan pelbagai aktiviti sosio-ekonomi untuk warganya,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN