PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarahkan supaya membanteras ulat-ulat tempat letak kereta di sekitar ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, arahan itu dibuat berdasarkan kepada aduan yang diterima beliau kebelakangan ini.
“Dalam beberapa hari ini, saya lihat banyak keluhan berkenaan isu ulat parking di Kuala Lumpur.
“Saya telah arahkan DBKL untuk tingkatkan pemantauan dan rondaan serta ambil tindakan ke atas aktiviti ulat parking seperti ini. Tindakan seperti ini tak sepatutnya berlaku,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu susulan daripada video tular di media sosial apabila seorang pengguna jalan raya diugut supaya membayar caj tempat letak kereta awam di sekitar Bukit Bintang pada waktu malam.
Malah, kereta milik pengguna jalan raya kelihatan calar-balar oleh seseorang apabila enggan membayar caj berkenaan. – UTUSAN