DAP masih pegang janji

DAP masih pegang janji

UMNO masih membawa perjuangan sama untuk orang Melayu malah Kerajaan Perpaduan memberi ruang yang luas untuk meneruskan agenda itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: DAP masih berpegang kepada janji yang dimeterai untuk tidak mempertikai agenda memperkukuh kedudukan Melayu dan Islam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO masih membawa perjuangan sama untuk orang Melayu, malah ruang secara meluas diberikan Kerajaan Perpaduan bagi meneruskan agenda yang dirancang.

“Apa yang kita rasa ketika ini tidak sama seperti bersama de­ngan Bersatu dan Pas suatu ketika dulu. Sentiasa dikhi­anati, ditikam dari belakang dan ada nilai persaingan tidak sihat dalam banyak perkara.

“Dalam keadaan sekarang, Kerajaan Perpaduan memberi ruang sepenuhnya untuk me­laksanakan sebarang program demi kepentingan Melayu dan Islam.

Umpamanya, diberi pe­ranan sebagai Sekretariat Kongres Ekonomi Bumiputera. Jadi kita nampak UMNO diberi ruang untuk perkukuh Islam dan Melayu.

“Sehingga hari ini, DAP masih hormat perjanjian, mereka tidak pertikai apa juga agenda yang UMNO cadang untuk perkasa Islam, menaikkan bajet Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), program Mara banyak memberi fokus kepada orang Melayu dan ia tiada isu. Pre­siden kembalikan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara dengan peruntukan yang lebih besar? Tiada isu juga,” katanya.

Asyraf Wajdi tidak menjelaskan sama ada UMNO kini berada dalam keadaan selesa bersama DAP, namun keadaan itu dilihat lebih baik jika dibandingkan sewaktu UMNO bekerjasama de­ngan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pernah menyebut DAP telah memberi komitmen bahawa parti itu sentiasa menghormati agama Islam sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, perkara itu telah dinyatakan oleh Setia­usaha Agung DAP, Anthony Loke semasa penubuhan Kerajaan Perpa­duan yang merangkumi Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) serta rakan gabungan dari Sabah dan Sarawak.

Asyraf Wajdi mengingatkan ahli UMNO supaya tidak ang­kuh kerana bukan lagi sebuah kuasa besar seperti dulu yang mampu memimpin negara tanpa kerjasama dengan parti-parti lain.

“Angkuh ini kita cakap untuk pelbagai peringkat sebab kita bukan macam kerajaan dulu lagi. Kita perlu fikir yang rakyat sedang memerhati kita dan ingin melihat UMNO berubah dengan wajah baharu, lebih humble, tidak mendongak ke langit, mengejar erti perjuangan hakiki.

“Siapa lagi yang hendak jaga Islam dan Melayu kalau bukan UMNO? Hendak harapkan Pas? Atau hendak harapkan Bersatu yang ekstrim bergaduh sesama sendiri?” soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×