Covid-19: Negara masih kategori hijau, tidak wajib pelitup muka

Covid-19: Negara masih kategori hijau, tidak wajib pelitup muka

DR. DZULKEFLY menziarah seorang pesakit warga emas di Kampung Batu 4, Ijok, Kuala Selangor. -FOTO/ ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kerajaan tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka berikutan situasi pandemik Covid-19 berada pada kategori hijau atau masih terkawal setakat ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, segala ketetapan terutama prosedur operasi standard (SOP)  bergantung kepada tahap tertentu pandemik tersebut.

Jelas beliau, statistik Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati jumlah kes, kematian dan kemasukan pesakit ke hospital dalam keadaan terkawal.

“Justeru, pemakaian pelitup muka kepada rakyat belum diwajibkan kerana kita tidak berada pada tahap serius sama ada oren atau merah.

“Namun, saya amat menggalakkan pemakaiannya terutama bagi golongan rentan iaitu warga emas berusia 65 tahun ke atas dan komorbiditi,” katanya ketika ditemui selepas menziarah pesakit warga emas di Kampung Batu 4, Ijok di sini, petang ini.

Terdahulu, beliau memaklumkan tiada varian baharu Covid-19 dikesan di Malaysia dan situasi terkawal dengan kebanyakan kes melibatkan gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital.

Sehingga kini, tiada varian baharu dikesan jenis sedang menular adalah masih varian Omicron dengan subvariannya XBB.1.16, XBB.1.5, EG.5 dan termasuk JN.1.

Bagi Minggu Epidemiologi ke-51 iaitu dari 17 hingga 23 Disember lalu, kadar kemasukan pesakit ke hospital adalah pada kadar 0.5 peratus manakala kadar kematian adalah 0.08 peratus.

Dalam pada itu, kata Dzulkefly, rakyat kini perlu menerima hakikat untuk menempuh fasa ‘hidup bersama virus’.

“Kesedaran untuk menjaga keselamatan dan kesihatan kini bergantung sepenuhnya kepada diri masing-masing.

“Jika boleh elakkan berada di kawasan sempit yang jelas berisiko tinggi untuk dijangkiti pandemik tersebut,” ujarnya.

Tambah beliau, KKM turut akan memantau situasi Covid-19 secara menyeluruh dengan turut mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengekang penularannya di seluruh negara.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN