Covid-19: Malaysia ambil langkah tegas

Covid-19: Malaysia ambil langkah tegas

Dzulkefly Ahmad ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kesihatan di Putrajaya. Turut kelihatan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan (duduk dua kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr Zaini Ujang (duduk dua kanan). - UTUSAN/MOHD FADLI HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia mengambil lang­kah tegas dalam mena­ngani pe­ningkatan semula kes Covid-19 bagi memastikan ia tidak menjejaskan kehidupan rakyat dan negara.

Ini termasuk arahan supaya kumpulan rentan dan berisiko mengambil dos penggalak di samping melakukan sari­ngan kesihatan yang ketat di pintu-pintu masuk negara bagi mengawal penularan dari luar.

Ini bagi memastikan penularannya terkawal dan negara tidak kembali ke fasa pandemik hingga melibatkan Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang boleh mendatangkan kerugian kira-kira 2.4 bilion sehari kepada eko­nomi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, untuk itu orang ramai digalakkan segera mengambil dos penggalak walaupun kadar jangkitan ketika ini masih rendah.

“Kementerian akan keluarkan satu ara­han mengenai dos penggalak dan ini per­lu terutama kepada kumpulan rentan yang ada risiko komorbiditi,” katanya kepa­da pembe­rita selepas majlis perhimpu­nan bulanan kementerian itu di sini semalam.

Beliau memberi jaminan bahawa stok vaksin dos penggalak masih mencu­ku­pi dalam simpanan kementerian dan be­lum mencapai tarikh luput penggunaan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masya­rakat supaya sentiasa mengambil langkah berwaspada dengan kembali mengamalkan pemakaian pe­litup muka apabila berada di tempat sesak.

Mereka yang dikesan ada gejala Covid-19 pula ujar beliau, dinasihatkan supaya mengelak berada di kawasan awam untuk mengurangkan risiko penularan kes kepada individu lain.

Singapura

Dr. Dzulkefly berkata, pi­haknya turut bersedia mempertimbangkan saringan ketat di dua pintu masuk negara dengan Singapura.

Ini ekoran lonjakan kes penyakit berkenaan di republik tersebut melebihi 50 peratus sejak dua minggu lalu sehingga menyebabkan permintaan tinggi kit ujian di farmasi negara berkenaan.

Katanya, berdasarkan pe­nga­laman sebelum ini, kerajaan tidak mengambil ringan dengan apa yang berlaku di negara-negara jiran.

“Jika kita perhatikan ada keperluan, ia akan membawa kepada langkah intervensi dan mitigasi yang bersesuaian berbanding dengan memberikan amaran.

“Semua tindakan akan kita pertimbang dan kementerian ada pelan tindakan seandainya timbul keperluan secara kecemasan,” ujarnya.

Isnin lepas, Kementerian Kesihatan Singapura melaporkan lonjakan kes Covid-19 kepada 32,035 kes dari 26 November sehingga 2 Disember lalu berbanding minggu sebe­lumnya.

Beberapa buah hospital utama di republik itu sudah me­ningkatkan pemantauan trend peningkatan pesakit baharu menjelang perayaan Krismas dan Tahun Baharu 2024.

Bagi Malaysia, sebanyak 12,757 kes Covid-19 dilaporkan pada minggu tiga hingga 9 Di­sember lalu berbanding 6,796 kes yang dilaporkan pada ming­gu sebelumnya.

Gejala ringan

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan memaklumkan kes Covid-19 di Malaysia walaupun bertambah namun masih terkawal.

Majoriti kes di seluruh negara ketika ini hanya mengalami isu gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital meskipun kemasukan pesakit ada pertambahan sedikit.

Jelasnya, walaupun terdapat peningkatan kes Covid-19 dicatatkan, secara keseluruhannya keadaan di negara ini masih dalam keadaan terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada.

Dalam pada itu, negara bakal berhadapan kerugian kira-kira RM2.4 bilion sehari jika rakyat mengambil mudah pencegahan Covid-19 hingga membawa kepada PKP.

Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, terdapat kaedah lain yang boleh digunakan supaya ekonomi berjalan seperti biasa, antaranya kaedah maya berbanding fizikal yang menjadi amalan ketika ini.

“Pengalaman lalu lebih setahun menjalani PKP mengajar kita banyak perkara termasuk pergerakan ekonomi secara maya, maka sebab itu penutupan ekonomi bukan jalan terbaik jika PKP diadakan semula.

“Sebenarnya kita sudah pun belajar bagaimana kehidupan maya boleh menggantikan perniagaan fizikal,” katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, virus Covid-19 masih belum hilang sepenuhnya dalam ‘kehidupan’ manusia.

Untuk itu, semua pihak perlu berwaspada dan mengambil langkah pencegahan sewajar­nya walaupun Pertubuhan Ke­sihatan Dunia (WHO) mengisyti­harkan penamatan Covid-19 sebagai kecemasan global. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×