KUCHING: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak beri jaminan akan sentiasa peka dan mengikut garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) sekiranya keadaan Covid-19 di negara membimbangkan.
Menterinya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah bagaimanapun yakin keadaan semasa wabak tersebut bukanlah pada tahap yang kritikal.
“Buat masa ini semuanya masih dalam keadaan terkawal, tetapi sekiranya perkara ini melonjak tinggi (kes Covid-19), saya percaya sudah tentu Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan garis panduan tertentu.
“Apabila ia sampai ke peringkat itu, kementerian saya yang mengawal selia perkara berkenaan dengan penlancong-pelancong datang serta penganjuran acara-acara akan turut menerima garis panduan tertentu berhubung pencegahan ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini selepas hadir merasmikan Hari Integriti Lembaga Pelancongan Sarawak (STB).
Abdul Karim berkata demikian ketika ditanya media sekiranya kementeriannya sudah mempunyai langkah pencegahan awal penularan Covid-19 serta kawalan pelancong ke negeri Sarawak.
Dalam pada masa yang sama, beliau juga tidak menafikan wabak Covid-19 dalam komuniti dan menyarankan agar golongan berisiko tinggi menggunakan pelitup muka di kawasan yang sesak, serta ketika menggunakan perkhidmatan pengangkutan.
Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, Malaysia merekodkan dua kes varian Omicron baharu BA.2.86 ketika ini selepas Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) melaporkan pertama kali peningkatan varian itu pada 24 Julai lalu.
Susulan itu, katanya, kes positif Covid-19 dikesan melonjak semula melebihi 1,000 kes sejak enam minggu lalu dengan terkini merekodkan sebanyak 3,626 kes sepanjang tempoh 19 hingga 25 November lalu.
Jumlah itu meningkat 57.3 peratus berbanding minggu sebelumnya yang mencatatkan 2,305 kes dengan merekodkan sebanyak empat varian Omicron baharu dilaporkan yang kesemuanya terdiri daripada Variant of Concern (VOC).
Tambahnya, walaupun terdapat peningkatan kes Covid-19 dicatatkan, namun, keadaan adalah terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada.
Pada masa sama, beliau memberi jaminan KKM akan terus memantau situasi dan varian Covid-19 dari semasa ke semasa.
Sehubungan itu, petugas kesihatan sama ada di fasiliti kesihatan awam dan swasta diminta untuk sentiasa berwaspada dengan peningkatan kes dan mempunyai high index of suspicion ke atas pesakit yang mempunyai gejala saluran pernafasan akut terutama terhadap golongan berisiko tinggi, katanya. -UTUSAN