Bukit Kayu Hitam bukan lagi ‘pekan hantu’

Bukit Kayu Hitam bukan lagi ‘pekan hantu’

YAZE Salleh menyusun barang di lot niaganya di Kompleks Darul Qiyyam, Bukit Kayu Hitam di Kubang Pasu. -UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Pernah bergelar ‘pekan hantu’ hampir empat tahun ketika penularan pandemik Covid-19, Bukit Kayu Hitam kini kembali hidup terutama di bazar niaga Kompleks Darul Qiyyam yang menjadi mercu tanda pekan ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, fenomena Hatyai secara tidak langsung menjadikan kawasan berkenaan meriah semula sekali gus memberi impak kepada peniaga di kawasan itu.

Seorang peniaga insurans keneraan, Faridah Abdullah, 57, berkata, ramai peniaga gembira dengan perkembangan terbaru itu yang sekali gus menamatkan era kesuraman Bukit Kayu Hitam.

“Setelah pintu sempadan ditutup, Bukit Kayu Hitam memang menjadi pekan hantu dan walaupun setelah sempadan dibuka semula, keadaan masih tidak berubah banyak masih tidak meriah seperti sebelum Covid-19.

“Tetapi sejak kebelakangan ini keadaan menjadi lebih baik apabila orang ramai masuk dan keluar Thailand kami peniaga mendapat rezeki juga macam Deepavali lepas, lebih 30 bas persiaran singgah di kompleks ini,” katanya ketika ditemui di Kompleks Darul Qiyyam, Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.

Seorang peniaga pakaian dan kelengkapan rumah, Yaze Salleh, 53, berkata, dia lega apabila berpeluang kembali ke bazar niaga tersebut yang pernah menjadi sumber pendapatannya.

“Hampir empat tahun juga kami keluar sebab tak ada pengunjung tetapi sejak pengurusan baharu kompleks ini melakukan pembangunan semula dan menampakkan sedikit impak positifnya kami kembali.

“Kompleks ini sebenarnya mampu menjadi sebagai pusat henti dan rehat mereka yang dalam perjalanan dari Thailand atau sebaliknya untuk berehat seketika sebelum meneruskan perjalanan masing-masing,” katanya.

Seorang lagi peniaga produk Thailand, Roshadah Din, 54, berkata, dia tidak menyangka mendapat peluang kembali berniaga di kawasan itu sejak kesuraman daerah itu akibat pandemik Covid-19.

“Dulu tempat ini tutup terus apabila sempadan tidak dibuka pada 2022. Ingatkan terus berkubur tetapi Alhamdulillah, kembali meriah dan kami sudah boleh ke premis masing-masing untuk berniaga.

“Banyak kedai makan dibuka dan sudah ada pasar malam juga jadi kawasan ini memang meriah tak macam dahulu,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Tnex Asset (M) Sdn Bhd, Ir. Zainal Shamsuddin, keseluruhan 90 lot niaga di premis berkenaan akan diisi secara berperingkat menjelang hujung tahun ini.

“Sekarang sikit demi sedikit peniaga asal mula berniaga semula di kompleks ini dan hujung bulan ini kita jangka kembali penuh. Tingkat dua yang merupakan lot pejabat sudah 80 peratus penuh.

“Sebagai syarikat pengurusan baharu kompleks ini, kita berusaha menaik taraf tempat ini sebaiknya kerana kita percaya tempat ini mampu membangun ditambah pula dengan pelbagai projek pembangunan mega yang sedang berjalan ketika ini,” katanya.

Untuk rekod, sempadan Malaysia-Thailand di sini pernah ditutup pada Mac 2020 bagi mengekang penularan Covid-19 sebelum dibuka semula pada April 2022.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya