KUALA LUMPUR : Aktivis alam sekitar termuda, Braden Yong telah mengharumkan nama negara apabila terpilih untuk mewakili Malaysia ke Persidangan Perubahan Iklim (COP28) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.
Program tersebut yang diadakan pada 30 November hingga 12 Disember lalu telah dihadiri seramai 70,000 peserta merangkumi barisan Presiden, Perdana Menteri, aktivis alam sekitar dan pemimpin muda dunia daripada 167 negara sekali gus menjadikan ia sebagai satu perhimpunan terbesar dalam sejarah.
Braden dipilih mewakili negara dan menyuarakan isu mengenai banjir bagi menggesa gollongan muda seluruh dunia untuk sama-sama memainkan peranan dalam menangani krisis iklim dunia.
Remaja berusia 11 tahun itu telah dipilih mewakili negara menerusi platform pendidikan bahasa Inggeris atas talian, 51 Talk.
Difahamkan, persidangan itu merupakan yang pertama kali dihadiri oleh Braden selain kali pertama memberikan ucapan di hadapan para pembesar negara dan aktivis alam sekitar dunia.
Menurut Braden, sebelum hadir ke COP28, dia telah mengambil inisiatif untuk bertemu dengan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad bagi mendapatkan pandangan dan input bernas sebelum membuat hujah di program antarabangsa tersebut.
“Semasa musim tengkujuh, lkawasan pantai timur di Malaysia adalah yang paling terkesan dengan takungan hujan yang menyebabkab banjir. Tahun lepas, bencana banjir juga telah banyak menyebabkan kerosakan jalan raya, kediaman termasuk menenggelamkan sekolah-sekolah.
“Sebagai wakil remaja Malaysia dan selepas bertukar pandangan dengan Nik Nazmi, saya sedar bahawa perlindungan alam sekitar seharusnya dijadikan sebagai antara DNA dalam diri seorang individu.
“Menerusi platfiorm COP28, saya menggesa pemuda dan pemudi seluruh dunia untuk bersama-sama menjalankan gerakan menjaga alam sekitar bagi memastikan ‘rumah’ kita ini lebih baik,”katanya.
Sebagai tambahan, difahamkan, ini bukan kali pertama pelajar program 51 Talk dipilih untuk menyertai program di peringkat antarabangsa.
Pada tahun 2019, Malaysia juga pernah menghantar wakil menerusi 51 Talk untuk bertukar pandangan di peringkat antarabangsa.