PETALING JAYA: 26 tahun melalui pahit manis dunia seni, pelakon berkaliber, Noorkhiriah menasihat rakan pelakon khususnya pendatang baharu untuk menunduk ke bumi biarpun bergelar selebriti popular.
Kongsinya, gelaran selebriti atau populariti yang diraih bukan tangga untuk seseorang merasa ‘besar’ dan menyombong diri dengan orang sekeliling khususnya kru produksi.
“Kerja macam saya adalah bersama pasukan maka kita kena hormat semua orang tidak kira siapa. Jagalah diri adik-adik yang baru nak up. Betulkan niat untuk apa. Jangan kejar apa yang tidak pasti.
“Jangan risau jika itu hak kita, Allah akan permudahkan. Kerja elok-elok dan ciptalah cerita yang memberi manfaat.
“Jangan rasa kita artis, kita besar. Jangan kita lupa manusia boleh mendoakan untuk kita bangun dan jatuh,” ujarnya dalam satu hantaran di media sosial.
Noorkhiriah dalam perkongsian sama juga mendedahkan pahit manis yang pernah dilalui sepanjang lebih dua dekad bergelar pelakon.
“Apa yang dilalui dahulu, susah yang dirasai adalah untuk apa yang ada sekarang. Dulu saya pergi set penggambaran naik van, sempit macam sardin dalam tin.
“Bayangkan tiba-tiba kena duduk atas besi panas, pijar dik. Tetapi bagi saya, seronok.
“Bila sampai set, tegur semua orang. Bawa aura positif walaupun semalam gaduh baling periuk. Jangan cerita kepada sesiapa kerana tiada manusia yang nak tahu masalah kita,” jelasnya.