Bersatu kena bai’ah ikat wakil rakyat lari

Bersatu kena bai’ah ikat wakil rakyat lari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus menerima tamparan apabila lima wakil rakyatnya menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru, Bersatu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dicadangkan memperkenal bai’ah bagi mengikat wakil rakyat parti itu daripada ‘lari’.

Apabila terikat dengan bai’ah sekali gus dapat membendung wakil rakyat parti itu yang sejak kebelakangan ini menjadi ‘trend’ apabila seorang demi seorang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

HASHIM JASIN

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, kesemua Ahli Parlimen Pas terikat dengan bai’ah sekali gus membendung mereka daripada menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri atau jauh sekali untuk melompat parti.

Katanya, apabila wakil rakyat mengikat bai’ah ia janji kepada Allah SWT dan perlu bertanggungjawab jika melanggar perjanjian itu.

“Kalau kita tengok, orang Pas tidak lari sebab kita ada bai’ah. Bersatu pun sebaik-baiknya kena memperkenalkan juga bai’ah bagi mengelak wakil rakyat mereka lari,” katanya.

Kelmarin, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengisytiharkan sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri.

Sokongan itu diisytiharkan ketika beliau mengajukan soalan tambahan dalam Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) dalam sidang Dewan Rakyat.

Sebelum ini, tindakan sama dilakukan oleh Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik, Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Kata Hashim, kandungan bai’ah tersebut boleh mengikut keperluan yang dilihat sesuai.

“Pada satu situasi, semasa di Kelantan dulu (Pilihan Raya Umum 2004) kita hanya ada kelebihan satu kerusi yang memerlukan bai’ah seperti sumpah taklik cerai talak tiga itu, namun situasi sekarang sudah berbeza.

“Bersatu juga boleh memperkenalkan bai’ah sebagai contoh dengan kandungan seperti sekiranya calon meninggalkan atau lompat ke parti lain dengan keredaan sendiri selepas menang akan dilaknat oleh Allah selain segala perbelanjaan menggunakan wang elaun dewan adalah haram,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN