PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil memaklumkan bahawa beliau masih belum menerima sebarang surat berhubung pemecatan daripada jawatannya atau keahliannya setakat ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Isham berkata, beliau tidak tahu sama ada dirinya dipecat daripada UMNO atau jawatannya sebagai MKT atau kedua-duanya sekali.
“Apa yang saya tahu mereka (UMNO) telah keluarkan saya daripada kumpulan WhatsApp Majlis Tertinggi UMNO malam semalam (kelmarin),” katanya menerusi mesej ringkas di WhatsApp.
Justeru, kata Isham, beliau mahu menunggu surat rasmi daripada UMNO berhubung pemecatannya terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut.
Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada akan mengemukakan rayuan berhubung jika benar dipecat, Isham berkata, beliau tidak akan berbuat sedemikian.
“Saya tahu (jika) saya merayu pun tidak guna, presiden telah buat keputusan untuk pecat saya,” katanya.
Kelmarin, seorang MKT UMNO yang enggan namanya disiarkan memaklumkan bahawa Isham dipecat namun tidak mendedahkan butiran lanjut berhubung pemecatan tersebut.
Ahli MKT tersebut hadir pada Mesyuarat MKT UMNO malam kelmarin yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan turut dihadiri timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden UMNO, berlangsung selama kira-kira dua jam.
Isham yang dikenali sebagai ‘orang’ bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak berbeza pandangan dengan Ahmad Zahid sejak UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau mengkritik UMNO kerana kerjasama dengan DAP menyebabkan parti tersebut terus kehilangan sokongan orang Melayu sehinggakan kalah teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri pada Julai lalu dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman minggu lalu.
Kelmarin, Isham membuat kenyataan di Facebook miliknya meminta Ahmad Zahid supaya tidak berada dalam sindrom penafian bahawa orang Melayu kini menolak UMNO disebabkan keputusannya untuk bersama DAp menghadapi pilihan raya.
“Jika keadaan ini berterusan, UMNO akan hancur dalam beberapa tahun lagi oleh kerana keputusan ini.
“UMNO ini adalah parti keramat yang memperjuangkan orang Melayu di Malaysia selama ini. Usahlah kerana kepentingan diri seluruh parti hancur lebur dibuatnya.
“Jika Datuk Seri letak jawatan, saya pun akan letak jawatan. Kita sama-sama berkorban asalkan parti keramat ini dapat diselamatkan selagi ada masa,” katanya. – UTUSAN










