IPOH: Kerajaan negeri semalam membentangkan Belanjawan Perak 2024 bertemakan ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera’ berjumlah RM1.35 bilion.
Ia merangkumi RM491 juta atau 36.5 peratus peruntukan bagi perbelanjaan pembangunan dan RM856 juta atau 63.5 peratus untuk perbelanjaan mengurus.
Belanjawan berkenaan mencatatkan peruntukan tertinggi dalam sejarah negeri berbanding Belanjawan 2023 berjumlah RM1.19 bilion dan Belanjawan 2022 sebanyak RM1.1 bilion.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perbelanjaan bagi maksud pembangunan pada 2024 ditambah sebanyak RM96 juta berbanding Belanjawan 2023.
Katanya, peningkatan itu bagi memenuhi keperluan pembangunan dan kebajikan demi manfaat rakyat disokong pula oleh kedudukan kewangan kerajaan negeri yang semakin mengukuh.
“Jumlah belanja bagi maksud pembangunan sebanyak RM491 juta ini adalah jumlah tertinggi yang pernah diperuntukan kerajaan negeri,” katanya ketika berucap dalam Pembentangan Belanjawan 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini.
Menurut Saarani, belanja bagi maksud mengurus berjumlah RM856 juta merangkumi emolumen sebanyak RM404.3 juta, perkhidmatan dan bekalan (RM316.7 juta), pembelian aset (RM15.3 juta), pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM113.8 juta) dan lain-lain perbelanjaan (RM5.9 juta).
Beliau berkata, Belanjawan Perak 2024 dirangka berdasarkan unjuran hasil dan terimaan pembangunan sebanyak RM1.28 bilion.
“Daripada unjuran hasil dan perbelanjaan bagi tahun 2024, Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2024 dijangka ditutup pada kadar defisit RM67.5 juta,” katanya.
Saarani berkata, Belanjawan Perak 2024 telah dirangka dengan mengambil kira ketetapan matlamat dan agenda yang digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030 selain dipetakan berasaskan senario ekonomi semasa.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri bersetuju agar tema ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera’ pada tahun lalu diteruskan bagi menjamin kesinambungan pelaksanaan pelan berkenaan yang berteraskan kepada lima fokus utama.
Jelasnya, fokus yang digariskan itu ialah Kesejahteraan Rakyat, Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri, Pembangunan Modal Insan dan Belia, Kelestarian Alam Sekitar dan Keterjaminan Bekalan Makanan.
“Kelima-lima fokus yang saling melengkapi ini menjurus kepada usaha berterusan kerajaan negeri bagi menjayakan tiga sasaran utama pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu Sejahtera Ekonomi, Sejahtera Sosial dan Sejahtera Politik,” katanya. – UTUSAN