Bekas Panglima TUDM jadi inspirasi pelatih terbaik

Bekas Panglima TUDM jadi inspirasi pelatih terbaik

MOHD Asghar Khan Goriman Khan menyampaikan anugerah Piala Panglima Tentera Udara (Terbaik Keseluruhan Sayap Kaku) kepada Muhammad Salihin Mohd Sabri pada Perbarisan Penyampaian Sayap Penerbangan Kursus Asas Penerbangan Siri 84/22 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 64/22 di KTU, Alor Setar. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Setelah berjaya mengharumkan nama negara sebagai individu keempat berjaya menamatkan kursus di Akademi Tentera Udara Amerika Syarikat (USAFA), Leftenan Muhammad Salihin Mohd. Sabri, 25, sekali lagi mencipta sejarah manis untuk dirinya sendiri.

Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu dinobatkan sebagai penerima Piala Panglima Tentera Udara (Pelatih Terbaik Keseluruhan Sayap Kaku) pada perbarisan sempena Sayap Penerbangan Kursus Asas Penerbangan Siri 84/22 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 64/22 di Kolej Tentera Udara (KTU) di sini. 

Anak kedua daripada tiga beradik itu memberitahu, minat mendalam dalam bidang tersebut sejak kecil mendorongnya memilih kerjaya tersebut selain termotivasi dengan bapa saudaranya yang juga bekas Panglima Tentera Udara (PTU), Leftenan Jeneral Tan Sri Abdul Ghani Abdul Aziz.

“Setiap kali bertemu bapa saudara, saya banyak bertanya mengenai skop kerja sebagai juruterbang sehinggalah saya mula meminati kerjaya sebagai juruterbang TUDM.

“Syukur kerana hari ini saya terpilih sebagai pelatih terbaik berkat kerja keras dan doa semua termasuk keluarga serta kawan-kawan,” katanya ketika ditemui selepas perbarisan tersebut.

Bercerita lanjut katanya, dia sebelum ini melanjutkan pengajian ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dalam jurusan Asasi Kejuruteraan selepas menamatkan persekolahan di Victoria Institution (VI).

“Saya melanjutkan pengajian di USAFA dan menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Sistem. Alhamdulillah, saya kemudiannya pulang ke tanah air dan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda TUDM dan seterusnya dinaikkan pangkat sebagai Leftenan TUDM,” katanya.

Sementara itu, Leftenan Saw Jie Sheng, 23, berkata, dia berbangga apabila mengharumkan nama ibu bapanya, Saw Chuan Hin, 59 dan Ooi Bee Yong, 58, apabila menjadi individu pertama dalam keluarga mereka menjadi juruterbang TUDM. 

“Saya ingin mengikut jejak langkah bapa yang merupakan pesara TUDM, manakala abang saya Saw Jie Hao,31, pula adalah Tentera Darat. 

“Saya memang meminati bidang ketenteraan disebabkan ramai ahli keluarga adalah tentera, namun, saya mencuba nasib sebagai tentera udara disebabkan tiada ahli keluarga yang menyertai TUDM,” kata generasi ketiga keluarga itu yang memilih bidang ketenteraan. 

Jie Sheng menambah, dia juga tidak pernah berdepan masalah walaupun menjadi satu-satunya kaum Cina yang mengikut kursus penerbangan tersebut. 

Menurut Leftenan R. Sanjeshwaren, 23, pula, dia mendapat inspirasi untuk menyertai TUDM disebabkan tiada sentimen perkauman dalam ketenteraan. 

“Saya tidak berasa terasing ataupun bersendirian disebabkan rakan-rakannya tidak pernah membezakan dirinya dengan mereka. Saya berbangga apabila berjaya menamatkan latihan, sekaligus menerima sayap penerbangan bersama rakan lain,” katanya. -UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya