SUBANG JAYA: Polis melupuskan pelbagai barangan kes membabitkan kes judi dan am di daerah ini bernilai RM1.24 juta bagi tempoh 2020 hingga 2021.
Pelupusan barang kes itu membabitkan 160 kertas siasatan kes judi dan 19 kertas siasatan kes am yang sudah selesai.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, bagi tempoh itu, sebanyak 1,078 set komputer, komputer riba dan telefon bimbit dianggarkan bernilai RM 744,600 serta wang tunai RM27,807.
“Kami turut merampas pelbagai barang seludup membabitkan 1,479 arak dan 1,863 karton rokok dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM418,000 bagi tempoh sama.
“Selain itu, kami merampas 113 mesin perlombongan mata wang digital (bitcoin) dianggarkan bernilai RM51,000 dalam Op Elektrik (bitcoin) dalam tempoh sama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelupusan Barang Kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, di sini hari ini.
Turut hadir Majistret Shah Alam, Mohamed Redza Azhar Rezali dan Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintenden Mohd Fairus Jaafar.
Wan Azlan berkata, barangan rampasan itu dilupuskan menggunakan kaedah pemproses komponen sisa elektrik dan elektronik (e-waste) dan jualan sisa besi serta pepejal.
Kata beliau, proses pelupusan dilakukan ini bukan sahaja menjimatkan wang, tetapi juga mengatasi masalah kesihatan seperti pembiakan nyamuk (Aedes) jika tidak diuruskan dengan baik.
“Proses pelupusan barang rampasan adalah bergantung kepada status kes yang diklasifikasikan sudah selesai dibicarakan di peringkat mahkamah.
“Sekiranya proses itu belum selesai, maka, barang kes terbabit perlu disimpan dengan selamat. Bagi kes jenayah, lazimnya ia mengambil masa antara kurang setahun ke dua tahun untuk selesai dibicarakan,” jelasnya.-UTUSAN