Banjir gelombang kedua di Terengganu semakin pulih - Utusan Malaysia

Banjir gelombang kedua di Terengganu semakin pulih

SEORANG penduduk membersihkan rumahnya yang dipenuhi lumpur dalam kejadian banjir di Kampung Tok Kah, Dungun, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Hari kelima banjir gelombang kedua di Terengganu semakin pulih dengan mangsa terus berkurangan kepada 812 orang daripada 180 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 1,302 orang daripada 296 keluarga pada 4 petang semalam.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, banjir di daerah Hulu Terengganu dan Besut telah pulih sepenuhnya apabila dua pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup secara rasmi lewat petang semalam.

Menurutnya, ketika ini, hanya tiga daerah masih terjejas dengan banjir dan 10 PPS masih beroperasi di Dungun, Marang dan Setiu.

“Di Dungun, seramai 583 mangsa daripada 147 keluarga masih berada di enam PPS berbanding 985 orang (240 keluarga) di sembilan PPS petang semalam.

“Di Marang pula, jumlah mangsa terus berkurangan kepada 179 orang daripada 22 keluarga berbanding 252 orang (43 keluarga sebelum ini manakala di Setiu pula, jumlah mangsa kekal tidak berubah iaitu 50 orang daripada 11 keluarga,” katanya di sini, pagi ini.

Cuaca hari ini diramal baik sepanjang hari dengan hujan hanya berlaku di beberapa tempat sahaja.

Kerja-kerja pembersihan banjir juga akan terus dilakukan hari ini oleh beberapa jabatan dan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta badan sukarelawan di lokasi yang terjejas.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air melaporkan tiada sungai yang telah melepasi paras bahaya atau paras amaran setakat 8 pagi ini.

Bagaimanapun, terdapat dua stesen yang masih menunjukkan bacaan melebihi paras berjaga-jaga iaitu Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik di daerah Kemaman dan Sungai Nerus di Kampung Jeram (Kuala Nerus). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya