Banjir: 220 penduduk Orang Asli terperangkap 

Banjir: 220 penduduk Orang Asli terperangkap 

LALUAN ke Kampung Orang Asli Sedohok, Kluang ditenggelami air sehingga satu meter, menyukarkan penduduk memberi barangan keperluan ke Pekan Kahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Kira-kira 220 penduduk Kampung Orang Asli Sedohok di Kahang, dekat sini mengalami kesukaran untuk keluar masuk ke kawasan itu berikutan jalan utama dinaiki air sedalam satu meter. 

Kenaikan mendadak paras air itu menyebabkan mereka tidak dapat ke pekan Kahang sama ada menggunakan motosikal atau kereta untuk urusan harian.

Jailani Rahim, 39, berkata, pada tengah hari semalam, paras air hanya  di paras buku lali, namun dalam kira-kira empat jam, parasnya sudah naik mendadak hingga paras pinggang di sesetengah kawasan. 

“Jika hujan berterusan, pasti paras air akan meningkat menyebabkan hanya bot yang boleh digunakan untuk ke kampung ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Jailani, perkampungan mereka tidak ditenggelami air dan hanya laluan utama sahaja terputus yang menyebabkan mereka perlu menggunakan jalan di Kilang Kelapa Sawit Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) yang lebih jauh untuk ke pekan Kahang. 

Namun, katanya, laluan itu juga dibimbangi akan ditenggelami banjir jika hujan berterusan.

“Paling membimbangkan adalah terdapat seorang penduduk yang menghidap penyakit kronik di kampung ini, sekiranya berlaku kecemasan pasti sukar untuk dibawa keluar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×