PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinet baharu Kerajaan Perpaduan di Bangunan Perdana Putra, di sini pagi ini.
Difahamkan, mesyuarat yang dihadiri barisan Kabinet termasuk yang baru dilantik semalam diadakan bermula pukul 9.30 pagi tadi.
Mengikut rutin, Kerajaan Perpaduan mengadakan mesyuarat secara mingguan pada setiap Rabu bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan kerajaan.
Semalam, Kerajaan Perpaduan melakukan rombakan besar-besaran dalam barisan Kabinetnya selepas setahun menerajui pentadbiran negara termasuk melantik lima menteri baharu bagi menyesuaikannya dengan situasi dan cabaran semasa.
Dengan berbaki empat tahun sebelum penggal ini berakhir, gandingan muka lama dan baharu dibawa masuk menyertai Kabinet di bawah kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja bekas menteri tetapi dalam kalangan teknokrat, ahli akademik dan junior politik.
Semua rombakan itu setelah mengambil kira latar belakang, pengalaman dan kelayakan serta wakil-wakil komposisi parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Lima menteri baharu ialah Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo.
Sementara itu, seorang lagi menteri baharu ialah Steven Sim Chee Keong yang naik pangkat mengetuai Kementerian Sumber Manusia. – UTUSAN











