Ahmad Said lepas jawatan Pengerusi UMNO Terengganu? - Utusan Malaysia

Ahmad Said lepas jawatan Pengerusi UMNO Terengganu?

AHMAD SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dijangka melepaskan jawatan yang disandang itu setelah Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Sabtu lalu.

Menurut sumber dalaman UMNO, jawatan tersebut dikatakan akan diserahkan kepada Setiausaha UMNO Negeri, Datuk Rozi Mamat.

Katanya, keputusan tersebut diambil setelah kedudukan UMNO Terengganu semakin lemah sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos lalu.

“Pengumuman rasmi mengenai pelantikan Rozi itu akan dilakukan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Rozi ketika dihubungi pula enggan mengesahkan dakwaan beliau bakal dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu.

“Tunggu pengumuman rasmi daripada Presiden parti atau UMNO Pusat,” ujarnya.

Sebelum ini, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid telah menggesa Ahmad meletak jawatan selepas semua 32 calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada PRN itu mengalami kekalahan.

Wan Ahmad berkata, Ahmad sebagai seorang pemimpin yang berkaliber dan bekas Menteri Besar Terengganu perlu bertangggungjawab atas kekalahan teruk yang dialami.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahun lalu, calon BN juga mengalami kekalahan di semua lapan kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Terengganu.

Sementara itu, dalam PRK Parlimen Kemaman, baru-baru ini, calon Pas, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mempertahankan kerusi Parlimen itu dengan majoriti 37,220 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu mendapat 64,998 undi manakala Raja Mohamed Affandi hanya mengumpul 27,778 undi.

Majoriti yang diperoleh Naib Presiden Pas itu melebihi 10,041 undi berbanding penyandang sebelum ini, Che Alias Hamid yang memperoleh majoriti 27,179 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya