MELAKA: Kerajaan negeri digesa mempertimbangkan semula penutupan jalan selama 54 jam di sekitar Banda Hilir di sini kerana ia terbukti menjejaskan periuk nasi peniaga kecil.
Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, walaupun usaha itu adalah baik untuk mengurangkan pelepasan karbon tetapi ia perlu realistik dan tidak menjejaskan ramai pihak yang mencari rezeki.
Kata beliau, impak penutupan jalan itu seharusnya dilihat secara lebih meluas kerana perniagaan di sepanjang laluan yang dilencongkan atau ditutup sangat terkesan akibat kejatuhan jumlah pengunjung.
“Saya faham kerajaan negeri mahu mengurangkan kesesakan di Bandaraya Melaka dan memberi keselesaan kepada pelancong. Bagaimanapun, usaha ini dilihat tidak konsisten apabila kesesakan trafik tetap berlaku di kawasan lain akibat penutupan jalan-jalan tertentu.
“Saya banyak terima aduan bas-bas pelancongan enggan memasuki pusat bandar menyebabkan tempahan yang diterima peniaga dibatalkan pada saat akhir. Saya bimbang situasi ini akan menyebabkan pelancong tawar hati untuk bercuti ke Melaka.
“Selain itu, papan tanda arah jalan yang mengelirukan dibimbangi akan membahayakan pengguna jalan raya. Ada papan tanda yang menunjukkan jalan sehala tetapi arah anak panah di atas jalan pula berbeza,” katanya kepada pemberita selepas meninjau premis yang terjejas dengan penutupan jalan di Jalan Bukit Cina di sini, hari ini.
Tambahnya, agensi-agensi berkaitan seperti Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Kesihatan negeri disaran memberikan maklum balas yang jujur kepada kerajaan negeri.
Menurutnya, ini kerana agensi yang terlibat lebih mengetahui keberkesanan Zon Bebas Kenderaan tersebut.
“Beri maklum balas yang tepat jika tidak sesuai. Saya difahamkan ada segelintir pihak yang mahu menyuarakan pandangan mereka tetapi dihalang oleh pihak berkuasa.
“Saya berharap kerajaan negeri segera membuat keputusan berhubung perkara ini. Walaupun ada usaha daripada pihak MBMB untuk mengatasi masalah ini, namun ia belum mencukupi,” ujarnya. – UTUSAN