PETALING JAYA : Tiada persefahaman menjadi faktor utama penyanyi, Adira Suhaimi, 32, nekad memfailkan perceraian terhadap suaminya, Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red.
Perkara itu telah disahkan oleh peguam syarie, Muhammad Akmal Amzan yang mewakili Datuk Red semasa dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Menurut Muhammad Akmal, Adira telah memfailkan perceraian pada 25 Oktober lalu sekali gus menyaksikan ia merupakan permohonan perceraian kali kedua terhadap Datuk Red.
Katanya, Datuk Red enggan menerima permohonan tersebut kerana masih percaya bahawa rumah tangga mereka boleh diselamatkan.
“Saya tidak boleh bercerita banyak namun apa yang boleh dikongsikan permohonan perceraian dilakukan kerana tiada persefahaman.
“Memang Datuk Red ingin menyelamatkan rumah tangga namun Adira kekal dengan keputusannya untuk berpisah,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Dalam sebutan kes di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang, semalam, Adira telah melantik kakaknya, Emma Suhaimi sebagai wakil untuk proses Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Manakala Datuk Red gagal membawa calon dengan alasan mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan.
“Hari ini (semalam) sepatutnya berlangsung proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) cuma Datuk Red baru maklumkan pagi tadi (semalam) bahawa dia ada urusan.
“Hakim ada menasihatinya untuk hadir ke mahkamah pada sesi akan datang demi memastikan proses JKP berjalan lancar. Difahamkan, dia akan hadir pada sesi sidang akan datang yang dijadualkan berlangsung pada 18 Disember ini,” katanya.
Sebelum ini, penyanyi Takdir Tercipta itu pernah memfailkan perceraian terhadap Datuk Red pada 1 April 2019.
Datuk Red dan Adira bernikah di Songkhla, Thailand sebagai isteri kedua pada 3 Disember 2015. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan empat anak iaitu Anggrek, 6, Asan,5, Anggun, 4, dan Ayob berusia setahun. – UTUSAN










