KUALA LUMPUR: “Bukan mahu dipuja, disanjung tetapi cukuplah jika ada rasa hormat pada kami (pelakon veteran). Ini pandang pun tidak.”
Itu luahan pelakon veteran, Kismah Johari yang terkilan dengan sikap biadap segelintir pelakon baharu hanya kerana mempunyai jumlah pengikut yang tinggi di media sosial.
Kongsi Kismah, ada pendatang baharu yang bukan sahaja tidak mahu menegur malah bersikap sombong dan merasakan dirinya lebih hebat daripada pelakon lain yang lebih senior.
“Bukan sekali dua, banyak kali saya berdepan dengan pelakon baharu yang tidak reti hormat orang lain. Kadang-kadang di set penggambaran, kita yang kena tegur dia dulu.
“Mungkin saya ini sudah tua, dia tidak berminat nak tegur. Mungkin dia rasa jumlah pengikut yang tinggi di media sosial itu sudah cukup hebat. Kita ini berapa sahaja followerskan.
“Dulu sebelum kami masuk set, para pelakon akan berkumpul buat latihan. Tapi ada artis baharu tak mahu. Terus masuk set, konon sudah bersedia dengan skrip semua. Diva,” ujarnya.
Kismah yang juga Presiden Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM) itu ditemui ketika tayangan perdana filem Sayu Yang Syukur yang bakal ditayangkan bermula 28 Disember depan.
Kongsi pelakon Keluarga Iskandar itu lagi, ada pelakon baharu yang berlagak seperti sutradara dan mengarahkan serta mengajar dia untuk melakonkan babak-babak tertentu ketika penggambaran.
“Ada sekali saya bergandingan dengan seorang pelakon ini, dia pula yang mengarahkan saya untuk berdiri di mana. Jawapan saya mudah, kita kan ada pengarah. Apa kata ikut ahaja kata pengarah.
“Tetapi itulah, sekadar cantik dan ramai followers belum tentu boleh berjaya serta bertahan. Ada ramai lagi pelakon yang reti menghormati dan mahu belajar. Kalau setakat rasa diri hebat sebab satu drama, tak apalah,” katanya.-UTUSAN