93 peratus syarikat patuhi ketetapan SSM - Utusan Malaysia

93 peratus syarikat patuhi ketetapan SSM

SSM
AHMAD Sabki Yusof beramah mesra dengan penerima sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat SSM kepada Usahawan B40 pada Program Semarak Daya Niaga Usahawan, dekat Pusat Borong GM Klang, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sebanyak 93 peratus syarikat dan entiti perniagaan didapati mematuhi arahan dan ketetapan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada tahun ini.

Pengerusinya, Ahmad Sabki Yusof berkata, pematuhan itu termasuk melibatkan faktor pendaftaran dan penyediaan laporan syarikat.

Jelas beliau, keadaan itu menunjukkan bahawa tahap kesedaran semua pihak termasuk peniaga dalam talian semakin tinggi mengenai kepentingan mendaftarkan syarikat masing-masing.

“Namun, hanya ada segelintir yang masih melakukan kesalahan tidak mempamerkan nama dan nombor syarikat di premis perniagaan mereka.

“Selain itu, sebilangan kecil syarikat tidak menyediakan laporan kewangan yang wajib dilakukan setiap tahun,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan penutup program Semarak Daya Niaga Usahawan di Kompleks Perniagaan GM Klang, hari ini.

Jelas Ahmad Sabki, keingkaran pemilik syarikat mematuhi peraturan antaranya boleh dikenakan tindakan kompaun mengikut Akta Syarikat 2016.

“Justeru, saya menyeru semua peniaga mengambil peluang mendaftarkan perniagaan secara sah di sisi undang-undang.

“Langkah ini perlu bagi memudahkan peniaga mendapat pelbagai manfaat yang ditawarkan kerajaan seperti bantuan peralatan, latihan dan bimbingan keusahawanan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 87,282 jumlah pendaftaran perniagaan  direkodkan sejak Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) dimulakan sejak Januari 2021.

“Jumlah itu meliputi 50,782 golongan usahawan B40 dan 36,500 pelajar institut pengajian tinggi (IPT) sepenuh masa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya