8,000 pengunjung meriahkan Putrajaya Green Light Run 2023 - Utusan Malaysia

8,000 pengunjung meriahkan Putrajaya Green Light Run 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Lebih 8,000 pengunjung memeriahkan program Putrajaya Green Light Run 2023 yang berlangsung di Anjung Floria, di sini, semalam.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, larian ini merupakan pertama kali seumpamanya dianjurkan yang dilihat seiring dengan usaha kerajaan dalam meningkatkan gaya hidup yang lebih sihat di kalangan masyarakat.

Menurutnya, acara larian tersebut telah diinspirasikan daripada larian di Tokyo, Jepun, yang mana pelari perlu mengatasi masa lampu isyarat bertukar warna hijau dan melepasinya sebelum warna merah.

Perkara itu disokong oleh penganjur, Ketua Pegawai Eksekutif Tune Advertising Sdn Bhd, Muhammad Hafiz Rozlan yang memaklumkan bahawa keunikan larian berkonsep seumpama itu memerlukan peserta berlawan dengan kepantasan lampu isyarat sekali gus membezakan perlumbaan ini dengan pertandingan lain.

“Inilah keistimewaan Putrajaya Green Light Run yang bukan sahaja memerlukan peserta bersaing dengan pelari lain, bahkan menguji kekuatan tenaga serta mental semua pelumba mengatasi kepantasan masa lampu isyarat.

“Sekiranya gagal melepasi waktu selepas lampu isyarat bertukar merah, pelari perlu berhenti untuk menunggu warna lampu berubah hijau semula.

“Melihat demografi jalan utama di pusat pentadbiran negara ini yang unik dengan adanya beberapa lampu isyarat di sepanjang laluan perlumbaan, kami yakin cabaran 7 kilometer itu juga membuatkan peserta teruja untuk ke garisan penamat,” katanya selepas pelancaran acara itu, malam semalam.

Jelasnya, cabaran larian yang dimulakan pada jam 8.30 malam itu juga turut memerlukan pelari mempunyai stamina, strategi dan memberikan fokus dalam melepasi semua lampu isyarat di sepanjang laluan.

Pada masa sama, katanya, Putrajaya Green Light Run 2023 yang turut berkonsepkan sebuah karnival yang bermula pada sebelah siang itu juga sarat dengan aktiviti untuk semua lapisan usia.

Antaranya adalah sesi karoeke terbuka, permainan pentas, lukisan wajah kanak-kanak, Bazaar Makanan, Zumba bersama penyanyi Nas Adilla, Belon Udara Panas, serta Konsert Mini membariskan artis popular tanah air.

“Selain acara larian, pengunjung turut dihiburkan persembahan konsert terbuka yang dihoskan Fara Fauzana dengan barisan penyanyi terdiri daripada Ernie Zakri, Afieq Syazwan dan Amir Masdi.

“Sambil menikmati pilihan seleksi lagu hits secara ‘live’ dan merasai suasana di Putrajaya, pengunjung seisi keluarga boleh menyertai pesta jualan selain mengikuti pelbagai aktiviti menarik termasuk belon udara panas.

“Ini juga antara tujuan untuk masyarakat sekitar mengamalkan gaya hidup sihat sambil beriadah bersama sahabat dan keluarga sekali gus mempromosikan Putrajaya sebagai destinasi riadah pada waktu malam,” katanya.

Sebagai tanda penghargaan, Tune Advertising Sdn Bhd turut menawarkan hadiah berupa voucher Decathlon, Skuter Elektrik, Smart TV 55 inci serta Motosikal Modenas untuk cabutan bertuah kepada peserta.

Acara ini ditaja oleh VFive Group, Gloria Jeans, 1901 Hotdog dan Decathlon yang juga penganjuran bersama Kelab Kita Kasin Malaysia dan Persatuan Sukan Rekreasi Putrajaya dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Tourism Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN