LUMUT: Dianggarkan 69 tan metrik sampah hanyut ‘singgah’ di tiga pantai peranginan di daerah Manjung akibat fenomena air pasang besar yang melanda daerah itu sejak 9 Disember lalu.
Tiga pantai tersebut ialah pantai Pasir Bogak dan Teluk Nipah di Pulau Pangkor serta Teluk Batik di Teluk Muroh di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee, memberitahu sampah hanyut yang dikutip kali ini mengejutkan kerana ia terlalu banyak.
“Sebaik menerima aduan mengenai sampah tersebut, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), persatuan penduduk, ‘beach boy’ Pulau Pangkor dan kontraktor, bertungkus lumus membersihkannya.
“Sebenarnya ini fenomena tahunan, tapi tahun ini kita dapati longgokan sampah berlaku di luar jangkaan,” jelasnya pada sidang media selepas meninjau Pantai Teluk Batik, di sini, hari ini.
Menurutnya, tindakan pembersihan dilakukan segera kerana ia melibatkan imej dan keselamatan banyak pihak serta boleh memberi kesan terhadap industri pelancongan negeri.
Dalam pada itu, Setiausaha MPM, Mohd Helmi Arifin memberitahu peruntukan sebanyak RM100, 000 terpaksa dikeluarkan bagi melakukan kerja-kerja pembersihan di tiga pantai tersebut.
Terangnya, ia melibatkan kos pengangkutan serta bayaran kepada kontraktor memandangkan fenomena longgokan sampah itu memerlukan kerja pembersihan dalam skala yang besar dan tenaga kerja yang ramai.
Beliau memaklumkan, MPM akan memohon peruntukan daripada kerajaan negeri bagi meningkatkan keupayaan dan pihaknya bagi menghadapi fenomena air pasang besar pada masa depan.
Jelasnya, untuk jangka pendek, MPM memohon bantuan secara ‘one off’ bagi kerja-kerja pembersihan segera pantai peranginan khususnya di Pulau Pangkor.
Bagi jangka masa panjang pula, MPM memohon agar disediakan dana tahunan sebagai persiapan menghadapi fenomena air pasang besar tersebut khususnya di Pulau Pangkor.
Tegas beliau, isu longgokan sampah hanyut itu penting untuk diselesaikan kerana melibatkan kepentingan industri pelancongan khususnya dalam menyambut kedatangan Tahun Melawat Perak 2024.
Sebelum ini, tular dalam media sosial gambar longgokan sampah hanyut termasuk timbunan dahan dan ranting kayu, botol mineral, plastik bungkusan makanan dan pelbagai lagi sampah besar yang ‘singgah’ di tiga pantai di daerah Manjung. – UTUSAN