44 kampung di muara sungai, pesisir pantai berisiko dilanda banjir - Utusan Malaysia

44 kampung di muara sungai, pesisir pantai berisiko dilanda banjir

MOHD. Khairiri Md. Resad (kiri) meninjau bilik gerakan operasi di Ibu Pejabat JBPM Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu mengenal pasti 44 buah kampung di muara sungai dan pesisir pantai di negeri ini berisiko dilanda banjir akibat fenomena air pasang besar pada musim tengkujuh ini.

Timbalan Pengarah JBPM negeri, Mohd. Khairiri Md. Resad, berkata, daerah Kuala Terengganu mencatat bilangan tertinggi iaitu 10 lokasi berdekatan muara Sungai Terengganu dan tiga di muara Sungai Ibai.

Beliau berkata, antaranya Seberang Takir, Kampung Pulau Rusa, Kampung Losong, Pulau Kambing, Pak Tuyu, Pulau Sekati, Teluk Pasu, Tanjung Gelam, Kampung Kubang Ikan dan Kampung Kuala Ibai.

Selain itu, katanya, sebanyak 13 lokasi di Dungun termasuk Kampung Sura (Sungai Sura), Durian Mentangau dan Tebing Tembah di Sungai Paka serta Teluk Bidara, Seberang Pintasan dan Che Lijah di muara Sungai Dungun.

“Di Kemaman pula terdapat enam buah kampung iaitu lima di muara Sungai Kemaman seperti Pengkalan Cicar, Bukit Kuang dan Kuala Kemaman serta Kampung Baru Kemasik di Sungai Kemasik.

“Penduduk di lokasi berisiko ini dinasihatkan sentiasa peka dan berwaspada dengan perubahan cuaca semasa selain mengambil tahu ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia).

“Di peringkat JBPM juga kita mengarahkan balai-balai di daerah sentiasa memantau dan membuat rondaan bagi memberikan bantuan segera jika berlaku kecemasan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Tambah Mohd. Khairiri, turut terdapat lokasi berisiko banjir di muara Sungai Setiu antaranya Kampung Fikri, Gong Batu, Limau Lipis dan Kuala Setiu selain Kampung Telaga Papan di muara Sungai Merang.

Sementara itu, katanya, di muara Sungai Besut turut mendatangkan risiko kepada penduduk di Kampung Pengkalan Atap, Kampung Nail, Teluk Budu dan Kampung Pantai sekiranya berlaku fenomena air pasang besar.

Met Malaysia terdahulu mengeluarkan ramalan cuaca signifikan penumpuan angin kencang yang berpotensi menyebabkan hujan di kawasan Semenanjung sehingga 4 Januari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya