30 pegawai sains diiktiraf sebagai pakar bidang khusus pelbagai

DEWAN NEGARA: 30 pegawai sains diiktiraf sebagai pakar bidang khusus pelbagai disiplin 

UGAK Anak Kumbong pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara hari ini. -GAMBAR JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 30 pegawai dalam skim perkhidmatan pegawai sains daripada pelbagai kementerian serta jabatan diiktiraf sebagai Pakar Bidang Khusus (SME) dalam pelbagai bidang dan disiplin. 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Ugak Anak Kumbong berkata, kerajaan memperkenal SME pada 2016 bagi memastikan penjawat awam yang dikenal pasti sebagai pakar bidang khusus diberi penghargaan sewajarnya. 

“Kerajaan sentiasa komited untuk terus menambah baik dan meningkatkan tahap kecekapan, kepakaran dan kemahiran penjawat awam melalui penambahbaikan dasar laluan kerjaya sedia ada sebagai penghargaan dan menjamin kebajikan penjawat awam.

“Dasar laluan kerjaya SME sedia ada akan dikemas kini dalam kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang turut merangkumi tumpuan kepada bidang-bidang SME baharu seperti kecerdasan buatan (AI), peralihan tenaga, transformasi digital, teknologi makanan, keselamatan siber dan persempadanan negara,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan dalam sidang Dewan Negara hari ini. 

Beliau menjawab soalan Senator Datin Ros Suryati Alang yang meminta kerajaan menyatakan sejauh mana Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam merancang untuk jawatan pegawai-pegawai sains dalam perkhidmatan awam Persekutuan yang bukan dalam skim Pegawai Tadbir dan Diplomatik memohon mendapat pengiktirafan SME. 

Mengulas lanjut, Ugak berkata, pegawai skim perkhidmatan pegawai sains berkenaan adalah daripada Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dan Kementerian Kesihatan (KKM). 

Jelasnya, bidang-bidang yang terlibat ialah kimia analitikal, asid deoksiribonukleik (DNA), forensik dokumen, mikotoksin, geofizik, meteorologi, farmakoterapi, fizik perubatan, genetik, mikrobiologi, transfusi dan pemakanan. 

“Kerajaan sentiasa mengambil berat berhubung kompetensi, kemahiran dan kepakaran dalam urusan penempatan dan laluan kerjaya penjawat awam bagi memastikan semua urusan penyampaian perkhidmatan agensi kerajaan dapat terus dilaksanakan dengan cekap dan sempurna,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN