2024: Fadhlina perlu tunjuk keupayaan sebenar kepemimpinan

2024: Fadhlina perlu tunjuk keupayaan sebenar kepemimpinan pendidikan negara

FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek perlu menunjukkan  keupayaan sebenar kepemimpinan pendidikan negara kepada rakyat.

Setiausaha, Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Anuar Ahmad berkata, tahun 2024 pastinya akan memberikan cabaran yang lebih besar untuk sistem pendidikan negara berbanding 2023. 

Menurutnya, ini kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mencabar  kepemimpinan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menjadikan 2024 sebagai tahun pemula membina sistem pendidikan yang berkualiti. 

“Kedua, selepas setahun kerajaan perpaduan memerintah negara, tentunya rakyat mula menilai kemampuan sebenar kepemimpinan pendidikan di bawah kerajaan perpaduan yang diterajui dan Pakatan Harapan (PH). 

“Pada rakyat biasa, fasa ‘berbulan madu’ dan fasa ‘belajar’ sudah tamat selepas setahun berlalu. 

“Jika ditakdirkan sistem pendidikan negara masih juga tidak bertambah baik untuk tahun 2024, tentunya seluruh rakyat akan mula bangun bersuara dan mengkritIk dengan lebih keras demi menjaga dan melindungi pendidikan anak-anak mereka,” katanya dalam kenyataan. 

Mengulas lanjut, Anuar yang juga Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, tahun 2023 bukanlah tahun yang memihak kepada sektor pendidikan negara. 

Katanya, walaupun Fadhlina memperkenalkan hala tuju kepemimpinan berasaskan Tujuh Teras KPM, namun, selepas setahun berlalu, rakan-rakan guru dan ibu bapa masih merasakan ia sebagai sesuatu yang agak asing dan tidak nampak secara jelas keberhasilannya.

“Malah, bila ditanya pada rakan-rakan guru, apakan mereka merasakan kelainan setahun ini berbanding tahun-tahun yang lalu? Rata -rata guru memberi respons bahawa mereka masih berasa pengalaman, persekitaran dan budaya kerja yang sama sahaja berbanding tahun-tahun sebelum ini. 

“Begitu juga dengan isu keciciran pembelajaran murid yang juga belum selesai sepenuhnya. Malah, isu sekolah daif dan isu kemiskinan multi dimensi yang banyak mempengaruhi prestasi dan pencapaian pendidikan anak-anak juga belum ada noktah sejak setahun yang lalu. 

“Selain masih bergelumang dengan isu keciciran pembelajaran akibatn kesan pandemik yang belum pulih sepenuhnya, data-data rasmi pendidikan membuktikan prestasi sistem pendidikan kita masih tidak memuaskan,” katanya. 

Namun, katanya, tentunya kelemahan dalam melaksanakan penyelesaian kepada semua isu pendidikan itu juga harus ditudingkan kepada pasukan pengurusan tinggi KPM yang sudah lama berkhidmat di kementerian. 

Katanya, ini kerana menteri pendidikan silih berganti, tetapi pasukan pengurusan pendidikan masih orang yang sama sahaja.

“Jadi, mengapa mereka yang  sekian lama di KPM tidak selesaikan sebegitu banyak isu pendidikan yang sekian lama  berlarutan? Mengapakah misalnya isu tandas sekolah yang daif, rosak, kotor, busuk  terpaksa menunggu arahan terus dari PMX (Anwar) sendiri?,” soalnya. 

Beliau menambah, dua kejayaan besar Fadhlina Sidek yang mesti diberikan ucapan tahniah ialah usaha beliau untuk menambahkan perjawatan guru baharu bagi memastikan sekolah mempunyai bilangan guru yang mencukupi.

Selain itu, katanya, beliau juga berjaya menyelesaikan penggubalan Dasar Pendidikan Digital yang dimulakan Datuk Dr. Radzi Jidin 

“Selain dua kejayaan tersebut, beberapa inisiatif lain nampaknya masih belum jelas keberkesanannya. Konsep Karamah Insaniah yang sedang dipopularkan oleh YB Fadhlina Sidek didapati masih seperti di awangan dan nampaknya kurang mendapat sambutan dan perhatian dalam kalangan masyarakat khususnya ibu bapa.

“Inisiatif lain yang juga masih samar kejayaannya ialah penggubalan Kurikulum Baru 2027 yang cuba memberikan penekanan kepada komponen Pendidikan Karakter,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN