1,472 remaja bawah umur hamil akibat dirogol, hubungan seks

1,472 remaja bawah umur hamil akibat dirogol, hubungan seks

"KESALAHAN kecuaian sehingga mengakibatkan kematian boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 31(1)(a) dan Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001." - Siti Kamsiah Hassan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 6,719 remaja bawah umur 18 tahun menjadi mangsa rogol dalam tempoh lima tahun bermula 2018 sehingga Ogos lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 1,472 remaja disahkan hamil selepas menjadi mangsa rogol atau menjalinkan hubungan seks suka sama suka.

Direkodkan, jumlah paling tinggi menjadi mangsa rogol adalah remaja berusia 13 sehingga 15 tahun dengan 4,342 orang, diikuti mereka berusia 16 sehingga 18 tahun (1,686 orang); 10 sehingga 12 tahun (566 orang); enam sehingga sembilan tahun (97 orang) dan bawah enam tahun (28 orang).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, berdasarkan statistik kes seksual yang berlaku, sebanyak 80 peratus mangsa melibatkan kanak-kanak terutamanya bagi kes rogol, rogol berkumpulan dan sumbang mahram.

Kata beliau, trend semasa ini menunjukkan kes-kes berlaku didorong oleh penyalahgunaan internet atau media sosial yang mana capaian bahan lucah mudah diperoleh menyebabkan mangsa dan suspek ingin mencuba perlakuan berkenaan tanpa berfikir akibat perbuatan itu.

Jelasnya, pelaku biasanya akan mengumpan mangsa melalui perkenalan dengan menjalinkan hubungan baik sehingga mereka berasa selesa dan percaya dengan suspek.

“Melalui pendedahan maklumat peribadi di media sosial seperti gambar dan nombor telefon memudahkan suspek menggunakan identiti palsu atau penyamaran untuk mendekati mangsa.

“Setelah berkenalan, jenayah seksual boleh berlaku secara atas talian atau secara fizikal yang mana ada kanak-kanak ini telah dieksploitasi oleh penjenayah seksual ini.

“Namun, ada juga kes setelah mereka berkenalan secara atas talian, mangsa dan suspek akan berjumpa secara fizikal seterusnya berlaku hubungan seks secara fizikal,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Siti Kamsiah berkata, peningkatan pelbagai aplikasi di media sosial seperti Instagram, OMI, MeChat dan sebagainya membolehkan sesiapa sahaja untuk mengakses atau menghubungi orang yang mereka tidak kenali tanpa mengira masa dan tempat seterusnya menjadi manga pemuas nafsu kepada penjenayah seksual ini.

Kata beliau, seramai 8,411 individu telah ditahan sepanjang tempoh sama terlibat dalam jenayah rogol ini dan pelaku tertinggi melibatkan suspek berusia 18 tahun ke atas dengan 4,580 orang diikuti remaja berusia 16 sehingga 18 tahun (2,743 orang); 13 sehingga 15 tahun (1,018 orang) dan bawah 13 tahun (70 orang).

“Kenalan dan teman lelaki merupakan pelaku paling tinggi direkodkan dengan 6,977 orang diikuti bekas teman lelaki (407 orang); individu tidak dikenali (234 orang) dan kenalan baru (133 orang) serta lain-lain hubungan dengan mangsa iaitu 660 orang.

“Daripada jumlah itu, bangsa Melayu merekodkan suspek tertinggi dengan 6,111 orang diikuti lain-lain bangsa (1,522 orang), Cina (416 orang) dan India (351 orang),” jelasnya.

Kata beliau, remaja bawah umur yang hamil lazimnya tidak menggugurkan kandungan kerana kebanyakan kes hanya menyedari perkara itu selepas kandungannya berada di peringkat akhir kehamilan iaitu antara enam hingga lapan bulan.

“Jarang kehamilan mereka dikesan di peringkat awal dan apabila perut sudah besar, mereka akan terus melahirkan sahaja kerana sudah terlambat untuk bertindak (menggugurkan kandungan).

“Ada juga kes yang kami terima remaja bawah umur ‘kantoi’ hamil apabila mengalami sakit perut untuk melahirkan dan pada ketika itu sudah tiada apa yang boleh dilakukan,” ujarnya.

Siti Kamsiah berkata, institusi kekeluargaan memainkan peranan penting dalam menangani jenayah rogol dalam kalangan kanak-kanak dan remaja bawah umur ini.

Kata beliau, peranan ibu bapa adalah memberi didikan dan kasih sayang serta perhatian kepada anak mereka agar tindak-tanduk dalam kawalan dan perhatian mereka.

“Ini dapat mengelakkan daripada anak-anak mereka daripada terjerumus dengan tingkah laku yang tidak bermoral dan menjadi mangsa seksual,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×