124 calon rebut Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah

124 calon rebut Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 124 calon bersaing merebut 27 tempat ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) bagi sesi 2023 hingga 2026 pada pemilihan yang diadakan serentak dengan Konvensyen Nasional 2023, bulan ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Dr. Zulqarnain Lukman berkata, antara yang menyerahkan borang pencalonan ialah Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu serta tiga Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar; Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dan Adly Zahari. 

Selain itu, katanya, Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr. Mohd. Hatta Ramli dan Pengarah Strategi parti itu, Datuk Seri Dr. Zulkefly Ahmad antara pemimpin yang bertanding. 

Menurut beliau, kira-kira 1,100 perwakilan turut memilih calon bagi jawatan speaker, timbalan speaker dan juruaudit pada pemilihan kali ini. 

“Selepas tarikh tutup serahan borang pencalonan pada 13 Disember 2023, Jawatankuasa Pemilihan Amanah 2023 menerima sebanyak 132 borang pencalonan merangkumi enam Amanah negeri dan 126 Amanah kawasan. 

“Secara keseluruhannya, sebanyak 202 nama telah dicalonkan untuk pemilihan kali ini dan selepas saringan kelayakan calon yang merangkumi jumlah pencalonan dan tahun keahlian, seramai 58 calon ditolak pencalonannya atas faktor tidak mendapat pencalonan yang mencukupi iaitu sekurang-kurangnya dua pencalonan,” katanya dalam kenyataan. 

Menurut Perlembagaan Amanah, kedudukan lima jawatan tertinggi parti itu ditentukan secara konsensus oleh 27 ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional yang dipilih pada pemilihan parti. 

Selain itu, seseorang individu hanya boleh menjadi Presiden selama tiga penggal berturut-turut dan sesi 2023 hingga 2026 menjadi penggal terakhir bagi Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja sekiranya dipilih untuk mengetuai parti sekali lagi. 

Dr. Zulqarnain berkata, jawatankuasa pemilihan akan menyiarkan senarai muktamad nama dan gambar calon di laman web khas sebelum pemilihan kali ini berlangsung bagi memudahkan para perwakilan mengenali calon masing-masing. 

“Pihak Jawatankuasa Pemilihan berharap kesemua calon-calon ini dapat mematuhi garis panduan dan etika kempen yang ditetapkan dalam Tatacara Pemilihan Parti,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya