1,101 PATI diberkas di ‘mini Dhaka’

1,101 PATI diberkas di ‘mini Dhaka’

SEBAHAGIAN daripada seramai 1,101 warga asing yang diberkas dalam operasi di Jalan Silang, Kuala Lumpur hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 1,101 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi bersepadu di ‘mini Dhaka’ di Jalan Silang, di sini hari ini.

Operasi bermula 11 pagi itu disertai oleh seramai 1,138 pegawai dan anggota dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) melibatkan Bridged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Unit Anjing Pengesan (K9).

Turut terlibat beberapa agensi antaranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen (JIM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, dalam operasi tersebut, pihaknya telah menyerbu sebanyak 60 premis di sekitar jalan terbabit.

Katanya, serbuan itu hasil risikan dan maklumat berkaitan kebanjiran warga asing serta aktiviti jenayah di lokasi terbabit.

“Antara yang ditahan mereka yang bekerja di premis diserbu selain warga asing berada berhampiran lokasi terbabit.

“Seramai 1,101 warga asing yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah telah ditahan. Turut diberkas dua kanak-kanak,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut Allaudeen, pihaknya turut merampas pelbagai barangan kontraban dianggarkan bernilai RM104,530.

“Antara dirampas sebanyak 100 karton rokok bernilai RM22,000, 80 karton arak (RM48,000) dan ubatan-ubatan tanpa kelulusan KKM (RM34,530).

“Barang rampasan dibuat di bawah Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1967 dan Akta Ubat 1956,” katanya.

Menurut Allaudeen, pihaknya turut menyerahkan kepada pihak DBKL untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas premis yang menyewakan bangunan kepada PATI jika wujud pelanggaran dari segi undang-undang.

Tambah Allaudeen,  kesemua tangkapan akan diserahkan kepada Imigresen untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 6 (3); Seksyen 6 (1) (c); Seksyen 15 (4); Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959 dan Peraturan 39 (b) Peraturan Imigresen 1963.

Tegas beliau, pihaknya serius terhadap isu kebanjiran warga asing selain membanteras ketirisan barang bersubsidi.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan akan membuat operasi sebegini di tempat tumpuan warga asing.

“Justeru, orang ramai diminta menyalurkan maklumat berhubung kegiatan mencurigakan atau kehadiran PATI di kawasan masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya