Warisan tidak tanding di Semenanjung pada PRU akan datang

Warisan tidak tanding di Semenanjung pada PRU akan datang

Warisan masih `gah' dan mampu bersaing pada PRN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Warisan tidak akan bertanding di Semenanjung Malaysia sebaliknya, akan memberi fokus untuk bertanding di Sabah pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, beliau telah menyatakan kepada barisan pimpinan Wira Warisan yang baharu untuk memberi fokus kepada Sabah.

“Warisan akan fokus untuk perjuangan di sini dan kita tidak tanding di Semenanjung,” katanya selepas mesyuarat Wira Warisan, hari ini.

Pada PRU-15, Warisan bertanding 26 kerusi Parlimen di Semenanjung namun, tewas di kesemua kerusi yang ditandingi.

Menyentuh tentang pimpinan Wira Warisan yang baharu, beliau yakin pimpinan baharu Wira Warisan yang diketuai oleh Terrence Au mampu menarik sokongan belia untuk menyertai perjuangan Warisan.

Malah, jika dilihat sebahagian besar pimpinan Warisan di peringkat pusat juga merupakan pemimpin muda seperti Ketua Wirawati, Isnaraissah Munirah Majilis; Timbalan Presiden, Datuk Darell Leiking dan Ketua Penerangan, Datuk Mohd. Azis Jamman.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, beliau percaya pengalaman Terrence dalam bidang pengurusan sebelum ini boleh dimanfaatkan untuk membolehkan Wira Warisan membantu dalam mempertahankan hak rakyat Sabah.

“Saya percaya dengan kerja berpasukan yang mantap, kita mampu menarik sokongan belia-belia untuk menyertai perjuangan Warisan dalam memastikan hak dan kepentingan Sabah terus terbela.

Mengenai kerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, Mohd. Shafie berkata, beliau mahu memperkuatkan parti itu terlebih dahulu sebelum memikirkan rakan kerjasama.

“Dahulu kita banyak pengalaman membantu parti-parti lain malah, gunakan logo kita selepas itu, mereka tinggalkan kita.

“Sebelum memikirkan rakan gabungan, adalah lebih baik kita gabungkan rakyat Sabah terlebih dahulu. Penting bagi kita untuk menyatukan rakyat Sabah sebab itu kita lantang bersuara mempertahankan hak Sabah.

“Penyatuan rakyat penting bukan hanya kepada kestabilan politik tetapi, untuk memantapkan politik Malaysia. Itu pentingnya kita perkukuhkan parti kita dahulu kemudian, barulah kita perlu melihat kepada gabungan-gabungan parti,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya