Warga emas dituduh lakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak perempuan - Utusan Malaysia

Warga emas dituduh lakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak perempuan

MOHAMMED Rashid Rahmat (depan) yang dituduh melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak perempuan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) banjir, di sini, minggu lalu.

Tertuduh, Mohammed Rashid Rahmat, 61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon untuk dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman di sini hari ini.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh yang juga penganggur didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun empat bulan.

Manakala bagi pertuduhan kedua, Mohammed Rashid dituduh melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang lagi kanak-kanak perempuan yang berumur tujuh tahun lima bulan.

Kejadian keji itu didakwa dilakukan tertuduh di pekarangan koridor PPS di sebuah sekolah kebangsaan di daerah Kuala Nerus antara pukul 6 petang sehingga 8 malam pada 22 November lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman pemenjaraan maksimum 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sebaik merekodkan pengakuan tidak bersalah daripada tertuduh, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan melapor diri di Balai Polis Gong Badak, di sini, setiap 1 haribulan sehingga kes selesai serta tidak dibenarkan menganggu mangsa dan saksi pendakwaan sepanjang prosiding.

Mahkamah kemudian menetapkan 31 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurul Najmi Adila Md. Nasir.

Pada 23 November lalu media melaporkan penahanan seorang lelaki warga emas di sebuah PPS yang menempatkan mangsa banjir selepas dipercayai melakukan amang seksual terhadap dua budak perempuan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan dilaporkan berkata, suspek dipercayai memperdaya kedua-dua mangsa kononnya untuk mengulangkaji pelajaran sebelum melakukan perbuatan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya