Wanita cedera diseret peragut

Wanita cedera diseret peragut

NUR Anisah Abdullah terbaring selepas mengalami kecederaan di muka dan kepala dalam kejadian cubaan ragut di Jalan Angsana Sari berdekatan sebuah hospital di Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang wanita cedera parah di bahagian muka dan kepala selepas diseret lelaki yang cuba melarikan beg tangannya dalam kejadian ragut di Jalan Angsana Sari berdekatan sebuah hospital swasta, di sini pagi ini.

Dalam kejadian pukul 9.10 pagi itu, mangsa, Nur Anisah Abdullah, 32, turut pengsan sebelum dia dikejarkan untuk mendapatkan rawatan segera di hospital berkenaan.

Suami mangsa, Muhammad Asri Zon, 32, berkata, kejadian berlaku ketika isterinya dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah syarikat perabot di Sungai Lalang, di sini.

“Isteri baru selesai menghadiri mesyuarat mingguan di sebuah pusat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Taman Keladi dan menunggang motosikal jenis Honda EX5 untuk ke tempat kerjanya. Tidak lama kemudian saya terima panggilan memaklumkan kejadian menimpanya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Muhammad Asri, dia dimaklumkan oleh isterinya yang diekori oleh dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal sejak dari Taman Keladi.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal isteri dihimpit mereka dan pemboncengnya cuba mengambil beg tangan yang diletakkan dalam bakul tetapi talinya tersangkut di pemegang motosikal.

“Mungkin berang kerana gagal meragut, pembonceng motosikal itu bertindak merentap dengan kuat hingga menyebabkan isteri saya hilang kawalan sebelum terjatuh dan diseret kira-kira 50 meter.

“Nasib menyebelahi isteri apabila kejadian itu dilihat oleh seorang pemandu sebuah kereta yang segera memberhentikan kenderaan bagi memberikan pertolongan hingga menyebabkan peragut terbabit melarikan diri,” katanya.

Kata Muhammad Asri, walaupun kejadian itu tidak melibatkan kerugian, namun kecederaan yang dihadapi isterinya amat merunsingkanya dan berharap peragut terbabit ditahan segera.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan yang dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN