Wan Saiful tak tahu hormati budaya, kaum lain - King Sing

Isu mabuk: Wan Saiful tak tahu hormati budaya, kaum lain – King Sing

TIONG KING SING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Tasek Gelugor dari Parti Bersatu, Datuk Seri Wan Saiful Wan Jan didakwa tidak tahu menghormati budaya, agama dan kaum lain walaupun Malaysia negara berbilang kaum, agama serta budaya. 

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, ia selepas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu berani menggelarkannya ‘mabuk’ dan mempunyai ‘imej yang rosak’, selain didakwanya telah menghasut orang ramai untuk mengajak orang lain mengulas sama ada beliau mabuk atau sebaliknya. 

“Beliau sebaliknya (Wan Saiful) lebih memilih untuk memberi penilaian peribadi dan menggunakan tanggapan sendiri dalam menilai orang lain. Jika beliau terus bersikap begini, lebih baik tinggalkan pentas politik.

“Dengan rasa rendah diri dan ikhlas, saya ingin mencadangkan agar Wan Saiful menyelesaikan masalah dan pertuduhan terhadapnya terlebih dahulu. Jelaskan kepada rakyat bagaimana dana yang sebegitu banyak boleh masuk ke akaun miliknya seperti yang dilaporkan media. 

“Jika perkara itu dapat diselesaikan, barulah boleh ‘sibuk’ hal orang lain. Jangan bangkitkan perkara yang tidak relevan semata-mata untuk mengalih perhatian daripada isunya, jangan fikir dengan memburukkan orang lain, rakyat akan lupa apa yang anda buat,” katanya dalam kenyataan dalam media sosial. 

WAN SAIFUL WAN JAN

Bagi menjawab tuduhan ‘mabuk’ yang dilemparkan Wan Saiful, King Sing berkata, beliau akan tetap mematuhi budaya, agama dan bangsanya itu. 

Jelasnya, beliau juga berhak untuk mengambil tindakan menerusi tindakan undang-undang terhadap fitnah Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu kerana tidak mempunyai bukti bahawa dia ‘mabuk’.

“Jangan cuba menangguk di air keruh. Demi kepentingan politik, sanggup memperguna orang lain untuk menutup kelemahan sendiri, sedangkan rakyat nampak anda tidak membuat sebarang pencapaian dalam meningkatkan taraf hidup mereka.

“Akhir sekali, saya menyeru kepada semua pihak untuk berhenti membangkitkan isu yang tidak penting ini, sebaliknya bekerjasama mewujudkan persekitaran yang harmoni dalam kepelbagaian masyarakat di negara ini. 

“Saya juga menggesa semua pemimpin politik untuk ‘memimpin melalui teladan’ dan menunjukkan rasa hormat kepada semua agama dan budaya, bagi memastikan negara kita terus maju dan membangun untuk kepentingan rakyat. 

“Jika ini berlarutan, isu kaum dan agama akan terus dipermainkan tanpa berkesudahan, malah ianya akan membawa kepada kemusnahan negara yang sekaligus akan menyebabkan pelaburan asing dan pelancong ‘menolak’ Malaysia. 

“Jika perkara ini berlaku, percayalah, rakyat akan menderita. Jika Wan Saiful benar-benar berjuang untuk rakyat, ingatlah bahawa menuding satu jari kepada orang lain bermakna banyak lagi jari yang menuding kepadanya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN