KUALA LUMPUR: Seramai lima ahli baharu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) dilantik oleh Yang di Pertuan Agong bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 9 Oktober 2023 sehingga 8 Oktober 2026.
Pelantikan itu terdiri daripada Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan empat lagi ahli Parlimen iaitu Datuk Mohd. Shahar Abdullah (Paya Besar), Mohd. Shafizan Kepli (Batang Lupar), Lo Su Fui (Tawau) dan Young Syefura Othman (Bentong).
Pelantikan tersebut adalah atas nasihat Perdana Menteri selaras dengan peruntukan Seksyen 14 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).
Surat cara pelantikan bagi ahli diserahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sambil disaksikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki di Parlimen hari ini.
Wan Junaidi berkata, ahli JKMR berperanan untuk menasihati Perdana Menteri mengenai pelbagai aspek masalah rasuah dalam negara dan memeriksa Laporan Tahunan SPRM.
“JKMR juga dikehendaki memeriksa ulasan oleh Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) tentang perjalanan oleh suruhanjaya ini akan fungsi di bawah Akta SPRM 2009 dan mendapatkan penjelasan mengenai Laporan Tahunan SPRM serta ulasan LPPR.
“Semoga dengan pelantikan ahli JKMR dapat membantu memenuhi harapan masyarakat terhadap kebebasan, kecekapan, keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti suruhanjaya ini dalam penunaian fungsi-fungsinya,” katanya dalam kenyataan.
Kelima-lima ahli baharu akan menyertai jawatan kuasa yang dianggotai dua lagi ahli iaitu Senator Md. Nasir Hashim dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang masih dalam tempoh lantikan. -UTUSAN