USANITA mahu pupuk kerjasama usahawan Malaysia, Indonesia

USANITA mahu pupuk kerjasama usahawan Malaysia, Indonesia

ADZLIANA HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Program ‘Bridge to Brilliance-USANITA ft Jakarta’ yang dilancarkan USANITA Sdn. Bhd. bakal menjadi platform terbaik untuk memupuk kerjasama antara usahawan Malaysia dan Indonesia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif USANITA, Datuk Adzliana Hasan, program yang akan bermula Januari depan itu akan menyediakan peluang kepada ahli USANITA dan usahawan Malaysia untuk belajar dan berkolaborasi dengan rakan sejawatnya dari Indonesia yang terkenal dengan kerjasama rapat serta ukhuwah sesama mereka.

“Usahawan Malaysia perlu aktif meneroka pasaran di Indonesia manakala usahawan dari negara seberang juga harus melakukan perkara yang sama. Dengan jumlah penduduk melebihi 300 juta di kedua-dua negara, perkongsian ini menyediakan platform yang amat besar untuk meneroka pasaran di peringkat ASEAN dan global,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, melalui kerjasama tersebut, USANITA berupaya membangunkan ekosistem perniagaan dan pasaran yang luas di Indonesia dan Malaysia.

“Ia boleh dilaksanakan dalam pelbagai cara, termasuk kerjasama melibatkan produk dan perkhidmatan yang disokong oleh inisiatif kukuh kedua-dua kerajaan.

“USANITA sentiasa menyokong aspirasi kerajaan dan ingin memainkan peranan sebagai jambatan untuk usahawan. Jakarta merupakan langkah pertama kami sebelum meneroka kerjasama di Thailand dan Filipina tidak lama lagi,” katanya.

Adzliana turut berkongsi kerterujaan usahawan Filipina terhadap inisiatif USANITA semasa lawatan mereka ke Malaysia baru-baru ini.

Menurutnya, tumpuan USANITA pada masa ini adalah Indonesia dan beliau yakin inisiatif tersebut akan memberi manfaat ekonomi kepada kedua-dua negara melalui peningkatan hasil jualan produk menerusi usaha sama usahawan terbabit.

“Kerjasama yang bakal dimeterai juga dijangka menarik pelaburan dalam sektor-sektor tertentu seperti industri kecantikan dan makanan, di mana usahawan Indonesia mempunyai kepakaran dan telah menempa kejayaan besar.

“Walaupun kerjasama serupa telah diadakan sebelum ini, USANITA mampu melakukan pembaharuan dengan memanfaatkan rangkaian dan platform perniagaan yang telah dibina. Menerusi rangkaian luas dan platform perniagaan yang kukuh, inisiatif USANITA ini pasti akan memberikan impak yang signifikan,” katanya.

Inisiatif strategik ini juga selari dengan matlamat ekonomi Malaysia yang lebih besar iaitu kerjasama yang terjalin bukan sahaja memanfaatkan usahawan terlibat malah menghasilkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kepelbagaian ekonomi.

Justeru Adzlina berkata, bagi memudahkan kerjasama tersebut, USANITA bakal menganjurkan bengkel dan majlis pertemuan antara usahawan kedua-dua negara.

“Ia akan menjadi platform untuk mereka bertukar pendapat, meneroka kerjasama dan membina asas untuk perkongsian perniagaan yang berpanjangan.

“Menerusi program ini, USANITA akan turut berkongsi kisah kejayaan dan menerangkan bagaimana kerjasama antara usahawan mampu meningkatkan perniagaan di negara dan rantau lain. Naratif kejayaan ini diharapkan menjadi inspirasi dan mendorong lebih ramai usahawan untuk aktif terlibat dalam kerjasama rentas sempadan.

“Inisiatif berani yang kita mulakan di Jakarta ini adalah selari dengan komitmen USANITA untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi melalui kerjasama inovatif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN