UMNO nafi terlibat tarik dua Ahli Parlimen PN sokong Perdana Menteri - Utusan Malaysia

UMNO nafi terlibat tarik dua Ahli Parlimen PN sokong Perdana Menteri

AHMAD Maslan (kiri) melawat reruai pameran pada program Takaful Masuk Kampung di Kampung Puteri Menangis, Pontian. - UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: UMNO menafikan penglibatan partinya dalam menarik dua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tiada pimpinan UMNO yang terlibat dalam memujuk Ahli Parlimen PN meskipun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)  pernah menarik sokongan 16 Ahli Parlimen UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Katanya, Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan tidak pernah mengarahkan beliau selaku Timbalan Menteri Kewangan 1 untuk parti pembangkang menyokong Kerajaan Perpaduan.

“Andaian bahawa ada pihak dalam kalangan pemimpin kerajaan memujuk Ahli Parlimen PN untuk menyokong Perdana Menteri adalah tidak betul sama sekali.

“Begitu juga di pihak UMNO tidak terlibat dalam usaha memujuk mereka menyokong Kerajaan Perpaduan pada hari ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Takaful Masuk Kampung di Dewan Homestay Kampung Puteri Menangis, Ayer Baloi dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia, Mohd Redzuan Mohamed.

Beliau mengulas kenyataan Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil bahawa tiada keperluan untuk menawarkan sebarang projek kepada mana-mana Ahli Parlimen untuk mendapatkan sokongan seperti yang didakwa PN.

Tambah Fahmi Fadzil, sokongan kepada Perdana Menteri dan kerajaan pada waktu ini adalah cukup baik.

Media sebelum ini melaporkan, Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail mendakwa ditawarkan projek di kawasan Parlimen mereka sebagai imbuhan kepada sokongan terhadap kerajaan.

Tambah Ahmad, dengan ada Akta Anti  Lompat Parti, kesemua Ahli Parlimen tidak kira di pihak kerajaan dan pembangkang terikat dengan akta tersebut dan tidak boleh keluar daripada parti mereka.

“Sekiranya mereka melompat parti, kelayakan mereka secara automatik akan gugur dan Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan di kawasan Parlimen tersebut. Bagaimanapun Ahli Parlimen Labuan dan Kuala Kangsar, mereka tidak keluar daripada Bersatu tetapi menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN