KUALA LUMPUR: Menuduh mana-mana pemimpin atau parti di negara ini sebagai komunis tidak sepatutnya berlaku kerana ia tidak berlandaskan kepada fakta dan sejarah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan, kesedaran perlu ada supaya tidak ada mana-mana pihak yang sewenang-wenangnya membuat dakwaan sedemikian.
“Untuk menuduh seseorang itu komunis dan sebagainya, saya setuju (tingkat kesedaran), supaya tidak ada buta sejarah terutama bagi mereka yang menyebutkan perkara itu.
“Kita mesti bercakap berdasarkan fakta bukan dengan tuduhan kepada seseorang apatah lagi kepada mana-mana parti politik di negara ini,” katanya ketika sesi penggulungan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau mengulas cadangan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer bagi menangani isu seperti tindakan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad yang mendakwa Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mempunyai hubungan kekeluargaan dengan komunis, Chin Peng namun tidak mengemukakan sebarang bukti terhadap dakwaan tersebut.
“Pendidikan awal kanak-kanak di luar bandar dan desa begitu penting, sebab itu kita dikejutkan dengan seorang individu yang mempunyai falsafah kedoktoran (PhD) mengeluarkan kenyataan mengaitkan DAP dan pemimpinnya dengan komunis, sedangkan beliau seorang ustazah.
“Penting untuk kita meningkatkan punca-punca maklumat dan kemudahan di luar bandar supaya kanak-kanak lebih cerdik pandai dan celik tentang sejarah,” katanya. – UTUSAN