TASEK GELUGOR: Kerajaan Negeri Pulau Pinang digesa segera menubuhkan pasukan khas bagi memuktamadkan isu pencemaran berkaitan ladang babi yang menghantui penduduk Kampung Selamat , dekat sini sejak lebih 40 tahun lalu.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pasukan khas yang dianggotai pelbagai jabatan dan agensi kerajaan itu mampu mengurangkan beban Jabatan Veterinar yang menjadi agensi tunggal mengatasi masalah tersebut.
“Pencemaran di sini sangat serius kerana bukan setakat pencemaran bau, malah melibatkan sungai dan alam sekitar serta mengganggu keselesaan penduduk sekitar.
“Pendapatan nelayan juga terjejas, pengeluaran padi turut terkesan disebabkan pencemaran yang berlaku di sini,” katanya selepas menghadiri sesi taklimat berhubung cadangan pembinaan loji biogas ladang babi di kawasan itu kelmarin.
Dalam pada itu, Wan Saiful berpandangan, cadangan pembinaan loji biogas terbabit dikhuatiri lebih menimbulkan masalah di kampung terbabit.
Katanya, ia susulan kapasiti loji biogas terbabit yang besar sekali gus lebih banyak sisa buangan babi diperlukan bagi membolehkannya beroperasi.
“Loji biogas ini dapat memproses sisa buangan 100,000 ekor babi sedangkan ternakan di sini hanya ada kira-kira 60,000 ekor babi.
“Kita khuatir sekiranya bahan buangan perlu diimport dari ladang lain dan menjadi ‘petanda’ untuk penternak menambah jumlah ternakan mereka sedangkan penduduk setempat mahu ia dikurangkan,” katanya.
Oktober lalu, media melaporkan kerajaan memandang serius pencemaran yang berpunca dari 64 ladang ternakan yang belum dapat diselesaikan.
Setakat 30 September lalu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang mengeluarkan 20 kompaun bernilai RM152,500 kepada pengusaha ladang yang gagal mematuhi Peraturan Pelesenan Penternakan Babi 2020.
Selain itu, sehingga 27 Oktober lalu, sebanyak 58 ladang ternakan berlesen dibenarkan beroperasi di kampung itu, dua ladang dalam proses penutupan dan empat diarahkan ditutup kerana tidak mematuhi Enakmen Penternakan Babi 2016. – UTUSAN










