PETALING JAYA: Penyerang Harimau Malaya, Darren Lok mengakui faktor tuah menyebelahi dirinya selepas muncul wira pasukan kebangsaan meledak gol kemenangan menewaskan Taiwan 1-0 dalam kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Taipei, kelmarin.
Dalam aksi kedua Kumpulan D itu, kemasukan Darren sebagai pemain gantian pada minit ke-63 menghadirkan impak besar setelah memanfaat peluang pertama dalam perlawanan itu dengan meledak gol meskipun sebelum itu Malaysia dihujani banyak peluang.
“Saya tidak fikir apa-apa ketika itu dan cuba bertindak lebih cepat dan ia memberikan gol dan tiga mata. Saya jangkakan Faisal Halim akan dapatkan bola tetapi itulah bola sepak, malam ini adalah malam bertuah saya.
“Dua aksi awal ini sangat penting kerana sejak dari hari pertama kem kebangsaan kami tahu kami perlu menang dalam dua perlawanan ini. Malam ini bukan mudah kerana keadaan padang yang sukar dan mereka juga lawan yang fizikal jadi untuk membawa balik tiga mata adalah pencapaian yang besar,” katanya.
Jelas Darren, ketika dibawa masuk sebagai pemain gantian, Pan Gon memesan kepadanya untuk memanfaatkan peluang yang hadir dalam kotak penalti dan akhirnya dia berjaya menjaringkan gol kemenangan yang juga gol pertamanya dalam kelayakan itu.
“Pada ketika itu tidak banyak jurulatih katakan dan saya hanya menunggu peluang yang tiba dan akhirnya kami berjaya ambil peluang itu dan tiga mata menjadi milik kita.
“Piala Asia adalah satu lagi kejohanan dan tahu ia bukan mudah dengan tiga pasukan yang baik dalam kumpulan tetapi apa yang pasti kami akan berikan 100 peratus kepada rakyat Malaysia,” jelasnya.
Dalam masa sama, Darren turut mengucapkan terima kasih atas sokongan penyokong yang hadir ke stadium kerana padanya mereka sentiasa menjadi sebahagian daripada kekuatan Harimau Malaya.
Jaringan tunggalnya pada minit ke-72 menjadi pemisah buat kedua-dua pasukan dengan Malaysia berjaya menamatkan badi tidak pernah menang di Taipei sebelum ini. – UTUSAN