Tiada keperluan gubal undang-undang baharu tangani isu 3R 

Parlimen: Tiada keperluan gubal undang-undang baharu tangani isu 3R 

AARON Ago Dagang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak melihat ada keperluan menggubal undang-undang baharu dalam menangani isu keharmonian kaum selain perkara berkaitan agama, bangsa dan institusi diraja (3R).

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, adalah memadai dengan meningkatkan penguatkuasaan melalui undang-undang sedia ada iaitu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Hasutan 1948 bagi menangani isu itu.

Bagaimanapun, katanya, jika keadaan mendesak kerajaan akan memikirkan undang-undang sedia ada perlu disemak semula untuk pindaan bagi mengekang elemen permusuhan antara kaum dan agama.

“Namun buat masa ini, kementerian berpandangan Akta Komunikasi dan Multimedia serta Akta Hasutan mencukupi dalam mengatasi dan mengambil tindakan sewajarnya berhubung isu 3R ini.

“Ini kerana dalam kedua-dua akta ini terdapat seksyen yang secara khusus menyentuh mengenai tindakan perundangan yang boleh diambil terhadap isu 3R ini bagi menjamin keharmonian kaum,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Aminolhuda Hassan [PH-Sri Gading] yang meminta kerajaan nyatakan jika akta hasutan dan akta komunikasi mencukupi dalam menangani isu 3R.

Dalam pada itu, katanya, cadangan terhadap tiga pembentukan undang-undang baharu yang diangkat kerajaan terdahulu pada 2019 termasuk Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Kebencian Kaum dan Agama, ditolak berikutan pengisiannya sudah terkandung di dalam Kanun Keseksaan.

Selain itu, katanya, cadangan RUU Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional turut ditolak kerana pengisiannya termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

“Penubuhan Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional yang dipersetujui pada 2019 sebelum ini juga ditolak kerana kerajaan pada 2020 memutuskan penubuhan suruhanjaya ini tidak sesuai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN