Tapak sampah haram: Kenakan denda lebih tinggi

Tapak sampah haram: Kenakan denda lebih tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Individu dan syarikat yang melupuskan sampah secara haram sehingga meninggalkan kesan pencemaran perlu dikenakan denda paling tinggi berikutan melakukan kesalahan pelanggaran status tanah dan pencerobohan tanah rizab kerajaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS), Mohd. Yusaimi Md. Yusof berkata, terdapat banyak kesan yang ditinggalkan daripada tapak pelupusan sampah haram ini.

“Kesan impak alam sekitar kepada penduduk sekitar adalah daripada segi pencemaran bau, asap, bahan tercemar yang mengalir masuk ke aliran longkang dan sungai.

“Selain itu, dari segi kesihatan ia boleh membawa penyakit seperti denggi, kencing tikus, penyakit kulit dan penyakit respiratori kepada sesetengah orang,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Yusaimi, kesan daripada wujudnya terlalu banyak tapak pelupusan sampah haram ini juga boleh mengakibatkan suasana persekitaran yang tidak cantik selain lori sampah keluar masuk yang membahayakan penduduk setempat.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, tapak pelupusan sampah haram dikesan paling banyak di dalam kawasan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) iaitu sebanyak 18 tapak tempat diikuti Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) iaitu 13 tapak.

Kemudian terdapat satu hingga lapan tapak haram dikesan iaitu di Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

Mengulas lanjut, Yusaimi berkata, status tanah juga perlu diberi perhatian kerana kebiasaannya terdapat pelanggaran status tanah.

“Tindakan hukuman denda harus ambil kira pelanggaran status tanah dan pencerobohan tanah rizab kerajaan, bukan sekadar hukuman operator haram,” katanya.

Jelasnya, tindakan pelbagai agensi boleh menghalang tapak pelupusan haram pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) Damien Thanam Divean berkata, kebiasaannya tapak pelupusan sampah haram dikesan dan dihentikan terlalu lambat menyebabkan kerajaan menanggung kos pembersihan yang tinggi.

PEKA menyarankan kepada kerajaan supaya memberi imbuhan atau hadiah kewangan kepada pemberi maklumat iaitu sebanyak 25 hingga 30 peratus daripada denda atau kompaun yang dikenakan kepada pihak pencemar.

Selain itu, Damien berkata, denda dan hukuman boleh dikenakan dan dinaikkan kepada individu atau syarikat, tetapi tidak berguna jika pihak penguatkuasaan tidak efektif atau menutup satu mata apabila dirasuah pihak yang melupuskan sampah secara haram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN